Kelab Gagung hidupkan pakaian pahlawan Iban

Kelab Gagung hidupkan pakaian pahlawan Iban

SIBU, 11 Julai – Kehadiran mereka di satu-satu tempat atau pekan kecil di pedalaman Sarawak bagi sesuatu acara khas sering menarik perhatian ramai.

Ada yang mengakui meremang bulu roma serta gerun dan ada pula terlonjak semangat kepahlawanan di dalam hati mereka.

Tidak kurang juga yang rasa bangga dan pasti sesetengah kebudayaan dan tradisi masyarakat Iban yang hampir pupus ditelan zaman, kini kembali untuk tatapan semua pihak dan diwarisi generasi akan datang.

Situasi itu dirasai apabila melihat segerombolan perarakan lelaki yang tampak gagah dan perkasa, memakai baju kulit binatang, topi khas yang dihiasi kepala kenyalang dan bulu burung enggang, rantai leher berbuahkan taring-taring babi hutan dan tengkorak serta pedang yang dihiasi rambut manusia di hulunya tersisip kemas di pinggang – umpama tentera dahulu kala yang siap sedia untuk turun berperang.

Kelab Gagung Sarawak mengenakan pakaian pahlawan Iban yang sudah tentu menarik perhatian orang ramai. - Bernama
Kelab Gagung Sarawak mengenakan pakaian pahlawan Iban yang sudah tentu menarik perhatian orang ramai. – Bernama

Namun kehadiran mereka, anggota Kelab Gagung Sarawak (KGS), bukanlah untuk berperang tetapi untuk memeriahkan suasana acara berkaitan masyarakat Iban mahupun menyambut ketibaan orang kenamaan.

KGS lahir hasil daripada minat yang cukup mendalam seorang lelaki, Sammy Ngelambai, 58, di dalam pembuatan baju kulit binatang yang dipanggil ‘Gagung’ dan topi ‘lelanjang’ yang dihiasi kepala kenyalang yang dipanggil ‘Tangkung Kenyalang’ sejak 2004.

“Asalnya, hanya ada 12 sahaja individu, termasuk Sammy, yang berminat di dalam pembuatan pakaian perang pahlawan Iban ini. Lama kelamaan minat itu menarik perhatian orang lain yang turut membantu mengumpulkan aksesori lain bagi melengkapkan pakaian gagung,” kata presiden kelab itu, Jabang Juntan. – Bernama