Kelab karaoke Indonesia terbakar, bunuh 12

Kelab karaoke Indonesia terbakar, bunuh 12

MANADO, Indonesia, 25 Okt (AFP) – Seramai 12 orang terkorban dan berpuluh yang lain cedera selepas kebakaran meletus di sebuah kelab karaoke yang penuh sesak di sebuah bandar pulau Sulawesi Indonesia, menurut polis hari ini.

Kebakaran itu tercetus akibat litar pintas di tingkat kedua kelab popular Inul Vizta tiga tingkat di bandar wilayah Utara Sulawesi selepas tengah malam, menyebabkan kepanikan dalam kalangan para pelanggan yang sedang menyanyi di bilik persendirian, kata jurucakap polis wilayah, Wilson Damanik kepada AFP.

“Kebakaran itu memenuhi bilik dan koridor dengan asap tebal hitam dan orang ramai mula panik dan berlari lintang-pukang dalam kegelapan.

Beberapa orang terhidu asap sementara yang lain cuba untuk menyelamatkan diri dengan melompat keluar tingkap terus jatuh ke jalan,” katanya.

“Sejauh ini, 12 orang terbunuh, kebanyakannya akibat terhidu asap kebakaran,” katanya, menambah mereka adalah warga Indonesia.

Menurutnya, ‘berpuluh’ cedera namun pegawai Palang Merah Indonesia, Mahmud Paputungan menganggarkan bilangan orang yang cedera sekitar 70 orang.

Kebakaran itu berjaya dipadam dan mangsa terbabit dipindahkan ke hospital berhampiran awal hari ini.

Siasatan mencari punca kebakaran masih lagi diteruskan, kata Damanik.

ARTIKEL YANG SAMA