Kelab Radio bersih tanah perkuburan

Kelab Radio bersih tanah perkuburan

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 1 Jun – Kelab Radio Daerah Belait meneruskan lagi kegiatan projek amal mereka dengan mengadakan kempen gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan orang-orang Islam di Batu Tiga Jalan Maulana di sini, hari ini.

Lebih 30 orang termasuk 15 orang ahli daripada Polis Daerah Belait, sukarelawan dan orang awam telah melibatkan diri menyertai kerja amal tersebut yang diadakan bersempena menjelangnya bulan Ramadan.

Mengetuai ahli-ahli Kelab Radio Daerah Belait dalam kerja gotong-royong yang diselajurkan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Arwah di kawasan tanah perkuburan tersebut ialah Pemangku Ketua Rancangan Radio, Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud.

Kerja gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan orang-orang Islam di Batu Tiga Jalan Maulana, oleh ahli-ahli Kelab Radio Daerah Belait.
Kerja gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan orang-orang Islam di Batu Tiga Jalan Maulana, oleh ahli-ahli Kelab Radio Daerah Belait.

Semasa ditemui media, Pengiran Ahmad memberitahu, projek tersebut merupakan antara kegiatan dalam kalendar Kelab Radio.

Menurutnya, di samping melakukan kerja-kerja amal, beberapa pendekatan juga disalurkan ke arah keutamaan bidang penyiaran radio khususnya, dan dalam kesempatan yang ada ahli-ahli kelab berkesempatan sambil belajar bagaimana kaedah membuat liputan dalam suasana sesuatu acara.

Sambil membuat kerja amal, tambah beliau, mereka yang terlibat juga diberikan beberapa pandangan, ilmu dan juga panduan yang disalurkan secara berperingkat, supaya dengan itu akan dapat menguasai keperluan tujuan dan matlamat penubuhan kelab berkenaan.

Kelab Radio Daerah Belait telah dilancarkan pada 14 Februari 2015, dan ia merupakan program pilot ke arah memperkenalkan pendekatan memasyarakatkan radio.

Dalam usianya yang baru lebih setahun, pelbagai kegiatan telah diperkenalkan melalui ahli-ahlinya termasuk, baru-baru ini, menganjurkan Peraduan Memancing yang berlangsung di Taman Rekreasi Anduki Seria.

Pengiran Ahmad menjelaskan, niat utama Kelab Radio diwujudkan termasuk di keempat-empat daerah adalah untuk memasyarakatkan radio, untuk menghadapi persaingan dalam media, terutama media radio yang perlu ke hadapan dan perlu terus berjuang memajukan perkhidmatan radio.

“Dengan kaedah memasyarakatkan radio ini, kita akan lebih dekat dengan orang ramai, khususnya pendengar, dan melakukan beberapa kegiatan yang dapat memperkenalkan dan menonjolkan kelab radio berkenaan.

“Dalam masa yang sama akan dapat melibatkan orang ramai mendekati aktiviti penyiaran dan membawa masyarakat yang berbakat, umpamanya kepada yang ingin menjadi seorang pelapor, penyiar, penulis skrip malah menjadi seorang pelakon drama dan sebagainya, perlu berterusan dilaksanakan,” katanya.

Beliau juga memberitahu, juga menjadi satu cabaran bagi mereka untuk menggerakkan ahli-ahli kelab, memandangkan latar belakang mereka terdiri daripada pelajar-pelajar dan belia yang sudah mempunyai pekerjaan, dan untuk menggembleng ahlinya ke arah pemahaman visi dan misi Kelab Radio, maka usaha yang dilakukan adalah diterapkan dengan pelbagai pendekatan, contohnya mengadakan pelbagai kegiatan.

Menurutnya lagi, dalam usaha untuk terus memperkembangkan penyiaran radio, mereka juga akan memperkenalkan Radio Sekolah dan dari sana akan dapat menemui pelajar-pelajar yang mempunyai keupayaan, dan boleh melahirkan pelajar yang dapat menyalurkan idea dan kreativiti mereka melalui penyiaran.

“Di samping penuntut-penuntut sekolah, kami juga akan membuat pendekatan dengan institusi mukim dan kampung dan di sini akan dapat mendengarkan penglibatan mereka melalui perkhidmatan radio mengenai dengan khidmat serta projek yang dikendalikan di setiap kampung, selain akan membawa penglibatan setiap masyarakat di negara ini,” ujar Pengiran Ahmad lagi.

 

ARTIKEL YANG SAMA