Kelab rekreasi diserbu jalankan judi dalam talian

Kelab rekreasi diserbu jalankan judi dalam talian

KUCHING, 20 Dis (Bernama) – Polis menyerbu sebuah kelab rekreasi di Jalan Datuk Tawi Sli di sini semalam yang dijadikan tempat judi dalam talian, kira-kira empat bulan selepas kelab itu diserbu kerana menjalankan kegiatan yang sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, polis dari unit D7 yang diketuai ASP Lim Jaw Shyong merampas 18 komputer bernilai sekitar RM27,000 dan wang tunai RM750 yang dipercayai hasil judi.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki berumur 50 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

Menurutnya kelab berkenaan pernah diserbu oleh unit D7 sekitar Ogos lepas yang menyaksikan polis merampas 35 komputer dan menahan seorang wanita, yang kemudiannya dijatuhi hukuman denda RM11,000 kerana kesalahan berkaitan judi.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Dev Kumar berkata polis sedar walaupun serbuan berterusan dijalankan, pengusaha judi terus berdegil dan berusaha mencari jalan untuk meneruskan kegiatan mereka.

“Namun ia tidak akan melemahkan polis yang tetap akan melipatgandakan usaha bagi membanteras kegiatan judi dalam talian,” katanya.