Kelab Rotary anjur kempen derma darah hari ini

Kelab Rotary anjur kempen derma darah hari ini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Sebagai usaha berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan dan untuk menyahut seruan menderma darah, Kelab Rotary Bandar Seri Begawan dan Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) sekali lagi, bersama-sama akan menganjurkan kempen menderma darah esok (3 September) di Dewan Pameran Lexus, Gadong bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kelab Rotary, kempen itu merupakan salah satu inisiatif dan projek kemasyarakatan Kelab Rotary sejak 2008 lagi sebagai tanda komitmen teguh dalam membantu mereka yang memerlukan dan bagi kebajikan masyarakat.

Penyelaras Kempen Derma Darah Kelab Rotary, PP Ricky Ng berkata bahawa setiap orang boleh membantu menyelamatkan nyawa dengan menderma darah.

Kempen menderma darah akan diadakan di Dewan Pameran Lexus, Gadong bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang hari ini.
Kempen menderma darah akan diadakan di Dewan Pameran Lexus, Gadong bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang hari ini.

Beliau juga menyatakan harapan bahawa kempen itu akan mendapat sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja daripada penderma darah kerap tetapi juga penderma-penderma baru, di mana pada kempen yang diadakan Mei lalu, ia telah berjaya mengumpul sebanyak 103 pain darah.

Oleh itu, beliau menyatakan penghargaan dan mengalu-alukan orang ramai untuk hadir sama-sama menghulurkan bantuan dengan menderma darah bersama-sama keluarga mereka semasa kempen diadakan nanti.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua penderma darah yang telah tampil ke hadapan untuk menyertai kempen yang diadakan bersama oleh Kelab Rotary dan Pusat Menderma Darah, Hospital RIPAS sejak 2008.

ARTIKEL YANG SAMA