Kelab Rotary anjur kempen derma darah hari ini

Kelab Rotary anjur kempen derma darah hari ini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Sebagai usaha berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan dan menyahut seruan untuk menderma darah, Kelab Rotary Bandar Seri Begawan dengan kerjasama Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) akan menganjurkan Kempen Derma Darah esok, 7 November di Dewan Pameran Lexus, Gadong bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kelab Rotary, kempen itu merupakan salah satu inisiatif dan projek kemasyarakatan mereka sejak 2008 sebagai tanda komitmen yang berterusan kepada kebajikan masyarakat.

Penyelia Pusat Menderma Darah RIPAS, Haji Matusop bin Haji Daud dipetik sebagai berkata bahawa setiap pendermaan darah yang dilakukan mampu menyelamatkan tiga nyawa.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap usaha murni dan berkebajikan itu akan mendapat sokongan penuh orang ramai dengan menyebarkan maklumat mengenainya supaya sama-sama memainkan peranan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Penyelaras kempen berkenaan bagi Kelab Rotary, PP Ricky Ng dipetik sebagai berkata bahawa setiap orang boleh membantu menyelamatkan nyawa dengan menderma darah.

Oleh itu, beliau menyatakan penghargaan dan mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama hadir menghulurkan bantuan dengan menderma darah dan membawa anggota keluarga dalam kempen itu nanti.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua penderma yang telah tampil ke hadapan menyertai kempen yang telah diadakan bersama oleh Kelab Rotary dan Pusat Menderma Darah sejak 2008.

Menurut beliau sejak 2008 hingga Julai 2015, sebanyak 1,500 pain darah telah didermakan, yang mana ia mampu menyelamatkan kira-kira 4,500 nyawa.

ARTIKEL YANG SAMA