Kelab Rotary kumpul darah bantu golongan memerlukan

Kelab Rotary kumpul darah bantu golongan memerlukan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Sebagai usaha berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan dan menyahut seruan untuk mendermakan darah, Kelab Rotary Bandar Seri Begawan dan Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) sekali lagi, bersama-sama akan menganjurkan Kempen Menderma Darah pada 26 November di Dewan Pameran Lexus, Gadong bermula dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Penyelaras Kempen Derma Darah Kelab Rotary, Muthukrishnan Balasundaram berkata bahawa setiap orang boleh bersama-sama membantu menyelamatkan nyawa dengan menderma darah.

Sehubungan dengan itu, beliau menyatakan harapan Kelab Rotary dan Pusat Menderma Darah bahawa kempen itu akan mendapat sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja daripada penderma darah kerap.

Beliau menyatakan juga mengalu-alukan orang ramai untuk hadir sama-sama menghulurkan bantuan dengan menderma darah bersama-sama keluarga mereka semasa kempen diadakan nanti.

Manakala itu, Penyelia Pusat Menderma Darah, Hospital RIPAS, Haji Matusop bin Haji Daud menyatakan bahawa setiap sumbangan derma boleh membantu menyelamatkan tiga nyawa.

Di samping itu, ulasnya lagi, setiap penderma akan menerima ujian kesihatan percuma iaitu pemeriksaan tekanan darah serta saringan penyakit berjangkit seperti HIV, Hepatitis B, Hepatitis C dan Sifilis.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua penderma darah yang telah tampil ke hadapan untuk menyertai kempen yang diadakan bersama Kelab Rotary dan Pusat Menderma Darah, yang merupakan salah satu projek khidmat masyarakat jangka panjang berterusan Kelab Rotary Bandar Seri Begawan.

ARTIKEL YANG SAMA