Kelab Sukan Pemotoran bantu belia amal hidup sihat

Kelab Sukan Pemotoran bantu belia amal hidup sihat

TAWAU, 2 Mei (Bernama) – Penubuhan Kelab Sukan Permotoran di negeri ini banyak membantu meringankan beban Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah menggalakkan golongan belia mengamalkan gaya hidup sihat.

Menterinya, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang menyokong penuh penubuhan kelab berkenaan di negeri ini berkata, perkara itu dilihat sangat positif berikutan sukan permotoran antara yang diminati golongan muda.

Katanya, kelab yang ditubuhkan boleh digunakan sebagai landasan mempromosi budaya, gaya hidup sihat, mengamalkan pemakanan seimbang dan melakukan aktiviti senaman ke arah melahirkan generasi muda yang sihat dan cergas.

“Saya yakin melalui penubuhan kelab banyak nilai-nilai murni yang dapat dihasilkan kerana ia bukan hanya untuk berseronok semata-mata tetapi mempunyai tujuan utama yang tentunya bersifat positif,” katanya.

Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan (tengah) bergambar bersama sebahagian dari 500 peserta larian amal sejauh 6 kilometer anjuran Young Malaysia Movement Ahad lalu. - Bernama
Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan (tengah) bergambar bersama sebahagian dari 500 peserta larian amal sejauh 6 kilometer anjuran Young Malaysia Movement Ahad lalu. – Bernama

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kelab Sukan Generasi Permotoran Sejagat (GPS) yang kini mempunyai anggota seramai 98 orang di sini malam tadi.

Tawfiq berkata penubuhan kelab itu juga berupaya menjadi platform bagi golongan muda berinteraksi sekali gus memberi kefahaman mengenai tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan negara.