Kelab UBD anjur pameran mahasiswa

Kelab UBD anjur pameran mahasiswa

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Sept – Bagi mengetengahkan kelab-kelab yang ada di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UBD menganjurkan Pameran Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (PMUBD) bermula hari ini di Pusat Pelajar UBD.

Pelancaran pameran selama tiga hari itu telah disempurnakan oleh Pemangku Pendaftar dan Setiausaha UBD, Hajah Maudena binti Haji Abdul Hamid selaku tetamu kehormat majlis.

Presiden MPP UBD 15/16, Awang Muhammad Khairuddin bin Ishak dalam ucapannya menjelaskan Pameran PMUBD ini merupakan satu platform bagi kelab-kelab aktiviti ko-kurikulum (ECA) dan badan pelajar mempamerkan perjalanan, pencapaian, perkembangan dan kemajuan kelab masing-masing khususnya kepada mahasiswa dan mahasiswi baru mengikuti mana-mana kelab yang mereka minati.

Pameran yang akan berlangsung 7 September itu, jelasnya akan dapat mempromosikan aktiviti kelab-kelab yang aktif dalam bidang akademik dan bukan akademik.

Hajah Maudena dan Awang Muhammad Khairuddin semasa melawat petak-petak pameran di Pusat Pelajar UBD, kelmarin.
Hajah Maudena dan Awang Muhammad Khairuddin semasa melawat petak-petak pameran di Pusat Pelajar UBD, kelmarin.

Di samping itu, pameran ini juga akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kelab-kelab dan badan pelajar serta berkongsi pengalaman sesama mereka dan diharap akan dapat meningkatkan lagi kerjasama di antara kelab-kelab yang ada bersama badan pelajar di UBD.

Sebanyak 26 kelab menyertai pameran itu yang terdiri daripada Kelab Budaya Korea, Kelab Bola Tampar, Kelab Parkour, Kelab Writer’s Movement, Quranic Generation, Kelab Dodgeball dan banyak lagi.

Pameran Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi UBD ini dibukakan dari jam 8 pagi sehingga 4:30 petang.