Kelahiran di luar pernikahan semakin membimbangkan

Kelahiran di luar pernikahan semakin membimbangkan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Bagi tahun 2014/2015, kes kelahiran anak damit tanpa bapa atau kelahiran di luar pernikahan masih dicatatkan dan yang lebih menyedihkan ia melibatkan remaja yang berusia di antara 12 hingga 19 tahun yang 88–95 peratus daripadanya adalah wanita beragama Islam.

Antara faktor yang menyebabkan hal ini terjadi adalah, keretakan keluarga, cabaran ekonomi, kurang pendidikan, pengaruh rakan sebaya, media sosial dan kurang penghayatan agama.

Perkara itu ditegaskan oleh perwakilan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Hajah Noor Hidayah binti Haji Osman ketika membuat pembentangan slaid di hadapan lebih 300 orang belia dan jemaah Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong semasa Majlis Siri Perlindungan Belia Pertama, Kurapak Menjelang Sungkai yang membawa tema ‘Apabila Baju Melayu bertemu Baju Kurung’, hari ini.

Beliau seterusnya berkata, belia dan remaja perlu membuat perubahan dan berhijrah ke arah yang lebih positif sebelum perkara ini terus menular dan menjadi semakin parah dan pasti akan membantutkan kemajuan dan pembangunan negara di masa akan datang.

Di awal pembentangannya, beliau turut berkongsi pengalaman dan kes yang ditangani beliau dan menegaskan, golongan yang terjebak di dalam gejala ini dikategorikan sebagai mereka yang di luar kawalan ibu bapa (BPC).

Hajah Noor Hidayah ketika membuat pembentangan slaid di hadapan lebih 300 belia dan jemaah Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong kelmarin.
Hajah Noor Hidayah ketika membuat pembentangan slaid di hadapan lebih 300 belia dan jemaah Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong kelmarin.

“Antara kes yang dicatatkan oleh BPC setakat ini adalah lari dari rumah, melakukan persetubuhan di luar nikah, mencuri, meminum minuman keras dan terlibat dengan gejala dadah,” ujarnya.

Menurut beliau, di kompleks rumah kebajikan, mereka dipantau untuk membuat perubahan dan perkembangan yang positif, namun begitu tidak semua yang menghuni rumah kebajikan itu adalah pelaku kesalahan kerana terdapat juga dalam kalangan mereka ini masuk kerana menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga trauma dan perlu diberikan rawatan serta pemulihan psikologi.

Setakat ini, kes termuda yang terlibat di negara ini, ujarnya, adalah remaja wanita yang semuda usia 11 tahun dan perkara ini sangat membimbangkan serta banyak pihak perlu membuat langkah yang proaktif mengekang gejala ini daripada terus berleluasa.

“Beberapa pihak seperti belia sendiri perlu membuat perubahan dan perlu secepatnya bertaubat serta nekad untuk tidak mengulangi perkara ini, selain mengharapkan sokongan keluarga untuk saling memahami dan memberikan perhatian serta masa kepada anak masing-masing,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa istilah jangan menjaga tepi kain orang lain perlu dibuang kerana untuk menjadi sebuah masyarakat yang berjaya, kita perlu menjaga dan melindungi setiap individu dalam masyarakat supaya tidak terjebak dengan gejala negatif ini.

“Selain itu juga, masyarakat turut berperanan sama-sama berusaha sekuat mungkin membantu pihak-pihak yang menjadi mangsa keadaan supaya mereka dilindungi dan generasi yang baru pula akan terlindung daripada hal yang tidak diingini ini,” tegasnya lagi

Sebelum mengakhiri pembentangannya, beliau mengingatkan para remaja dan belia untuk tidak mengambil ringan perkara ini kerana ia benar-benar berlaku dan bukan hanya menjadi paparan di kaca televisyen sahaja.

“Kita perlu membuat sesuatu untuk menangani perkara ini sebelum ia menjadi lebih parah,” tekan beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA