Kelangsungan ...

Kelangsungan usahawan fesyen tahun 2017

KUALA LUMPUR – Bila sebut tentang tahun 2017, ramai peniaga yang mengeluh dek desas-desus mengatakan tahun ini akan menjadi tahun mencabar untuk kelangsungan perniagaan.

Antara sektor yang dikatakan akan terjejas ialah industri pakaian. Hal ini seolah menjadi realiti dengan beberapa pemain besar mula masuk ke industri lain seperti alat solek dan makanan.

Persaingan antara jenama juga dikatakan semakin sengit dengan jenama baharu tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan yang turut dirancakkan dengan akses kepada bahan mentah dari China dan Vietnam. Di peringkat antarabangsa, ‘State of the Global Islamic Economy Report 2015-2016’ melaporkan pengguna Muslim membelanjakan kira-kira USD230 bilion setahun untuk pakaian dan nilai ini dijangka meningkat kepada USD327 bilion pada 2019.

Maka tidak hairanlah bila jenama besar seperti Dolce & Gabbana, H&M, Uniqlo, DKNY, Oscar de la Renta, Tommy Hilfiger dan Mango mula terjun ke dalam industri ini membawakan pakaian bertema ‘modest fashion’, sekali gus meningkatkan persaingan dengan jenama kendiri sedia ada.

Kurang ilmu

Pengasas pusat latihan perniagaan GM Ideology, Mejar (B) Mohd Ameir Rydhuan berpendapat 90 peratus pemilik jenama pakaian tempatan memulakan perniagaan mereka dengan cara yang salah sehingga mengakibatkan ramai yang akhirnya gulung tikar.

Para peserta bengkel Fashion Startup: Projek Raya 2017 ketika perjalanan bengkel itu pada 14 Januari hingga 15 Januari lalu. – Bernama
Para peserta bengkel Fashion Startup: Projek Raya 2017 ketika perjalanan bengkel itu pada 14 Januari hingga 15 Januari lalu. – Bernama

“Sejak lima tahun lepas pakaian jenama tempatan berkembang hingga lahir banyak butik dan acara-acara mega jualan khusus untuk jenama tempatan.

Malangnya, ilmu pengetahuan pemilik jenama tidak selari dengan kelajuan perkembangan industri ini,” kata Ameir membuka bicara.

Beliau yang telah menjalankan 200 sesi latihan untuk 50 jenama tempatan sepanjang 2016 berkata, beliau sendiri banyak mempelajari masalah utama yang dilakukan banyak pemilik jenama.

Ameir juga berpendapat tahun 2017 bukanlah tahun yang mencabar buat industri fesyen tempatan seperti yang biasa digembar-gemburkan ramai orang dengan syarat pemilik jenama tahu mengorak langkah dengan teliti.

“Cabaran sebenar adalah bila jenama dalam industri tidak menawarkan kelainan atau sesuatu yang unik kepada pasaran. Kesannya, mereka terpaksa bersaing sesama sendiri dan rebut pelanggan yang sama sedangkan industri ini besar,” hujah beliau.

Ameir berkata demikian selepas program ‘Fashion Startup: Persiapan Projek Raya 2017’ anjuran Magma Solutions Sdn. Bhd. (Magma) di Putrajaya pada 14 dan 15 Jan lepas.

Dua kesalahan utama

Ameir berkata, dua kesalahan yang biasa dilakukan usahawan fesyen tempatan adalah tidak menjaga pelanggan dan terlalu sibuk mencari pelanggan baharu. “Setiap pelanggan yang pernah membeli jenama kita ada potensi tinggi untuk melakukan pembelian kedua dan seterusnya. Gagal menjaga golongan ini bakal menyebabkan peniaga terlepas potensi jualan itu yang kemudiannya bakal direbut orang lain,”

“Dalam masa sama, peniaga sibuk mencari pelanggan baharu dan lupa aktiviti pengekalan pelanggan sedia ada. Mereka tidak sedar kos mendapatkan seorang pelanggan baharu adalah sama untuk menjaga lima pelanggan sedia ada,” ulas bekas anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) ini.

Tambah beliau, banyak usahawan hari ini sukakan hal yang ‘fancy’ dan lupa perkara asas. Buktinya dalam program daripada latihan yang dijalankan, ramai pemilik jenama yang ‘tercengang’ apabila mereka baru sedar bahawa mereka telah mengambil ringan benda-benda mudah seperti di atas sedangkan mereka berniaga bertahun-tahun.

Antara cara yang bagus untuk menjaga pelanggan sedia ada adalah dengan memperkenal program kesetiaan dan ganjaran. Ini membantu kelestarian perniagaan untuk terus bertakhta sebagai pilihan pelanggan untuk jangka masa panjang.

Projek raya

Dengan ketibaan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang hanya tinggal lima bulan sahaja lagi, para usahawan fesyen perlu mula merangka pelan yang akan diguna bagi mendapatkan jualan yang tinggi pada musim orang membeli-belah itu nanti.

“Raya adalah ‘most important day of the year’ bagi pelanggan. Soalannya, adakah pelanggan akan pilih jenama kita atau tidak di hari penting mereka itu. Tahun lepas kita lihat banyak kawan kita yang gagal, tutup kedai, kontreversi, dilanda skandal dan sebagainya semuanya kerana kegagalan merancang. Magma berharap keadaan ini tidak berulang lagi kepada mana-mana peserta kami,”

Tiga penggerak bengkel Fashion Startup : Projek Raya 2017 daripada Magma Solutions Sdn. Bhd (dari kiri) Ketua Pegawai Operasi Mejar (B) Mohd Ameir Rydhuan, Ketua Pegawai Eksekutif Puteri Maizura Razali dan Ketua Bahagian Perhubungan Pelanggan Azrul Izzam Kamarul Zaman. – Bernama
Tiga penggerak bengkel Fashion Startup : Projek Raya 2017 daripada Magma Solutions Sdn. Bhd (dari kiri) Ketua Pegawai Operasi Mejar (B) Mohd Ameir Rydhuan, Ketua Pegawai Eksekutif Puteri Maizura Razali dan Ketua Bahagian Perhubungan Pelanggan Azrul Izzam Kamarul Zaman. – Bernama

jelas Azrul Izzam Kamarul Zaman, Chief of Experience (COE) Magma.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Magma Puteri Maizura Razali berkata bagi sesebuah jenama, prestasi syarikat semasa jualan sempena hari raya memberi gambaran kasar tentang tahap kesihatan perniagaan.

“Pada waktu ini permintaan meningkat hampir tiga kali ganda berbanding bulan-bulan biasa jadi memang jualan raya penting untuk mengukur sama ada produk kita masih atau sudah tidak relevan kepada pasaran,” kata beliau.

Ilmu sebagai persediaan

Buat pengasas butik Benang Hijau, Fadzilah Mamat, 36, memiliki 12 butik di tujuh negeri bererti beliau perlu lebih banyak belajar mengenai selok-belok pengurusan perniagaan. Beliau berpendapat bengkel Fashion Startup menjawab banyak persoalan beliau selama ini.

“Jualan agak jatuh pada akhir 2016 jadi saya rasa dah sampai masa untuk ubah strategi untuk dapat hasil berbeza. Saya biasa tertanya-tanya apakah nisbah yang

sihat untuk kos pemasaran, berapakah pulangan yang sihat daripada pelaburan dan saya dapat jawapannya di sini,” katanya.

Hal ini disokong Siti Alia Izaaty Mohd Ramlel, pemilik jenama Bonafide Scarf. Menurut Siti, beliau sendiri telah banyak kali ‘langgar dinding’ dan menanggung kerugian dek perancangan yang tidak teliti.

Tahun lepas, beliau melakukan kesilapan melabur hingga enam angka untuk produk yang tidak dinilai keboleh pasarannya yang akhirnya tidak laku hingga berlaku longgokan stok. Tahun ini beliau berharap perkara itu tidak terjadi lagi dengan ilmu yang diperoleh di bengkel ini.

Dua lagi usahawan fesyen, Rubina Ameen Mughal, 37 pemilik Imaan Boutique, Fazrena Abdul Aziz yang mengasaskan TudungPeople sama-sama bersetuju pengetahuan yang dikongsi Ameir adalah praktikal dan menjadikan mereka lebih teliti dalam membuat keputusan.

Sementara itu, Mohd Muaz B Mohamed Nyan, yang menjalankan perniagaan Audrabella Wardrobe sejak 2014, berkata beliau sanggup datang ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru kerana ketiadaan bengkel sebegini di sana. – Bernama