Kelas, aktiviti bantu ceriakan pelarian kanak-kanak

Kelas, aktiviti bantu ceriakan pelarian kanak-kanak

ATHENS – Setiap hari, sekitar jam 10:30 pagi selepas selesai sarapan, Samira, 7, yang berasal dari Syria bersama-sama dengan dua orang adik-beradiknya memulakan pembelajaran mereka bukan di sekolah seperti sepatutnya, tetapi di sebuah kelas di sebuah hotel lama di tengah Athens.

Bersama-sama dengan rakan sekelasnya yang baru juga dari Syria dan Iraq, mereka semua memberikan perhatian sepenuhnya dalam kelas Bahasa Inggeris itu.

“Ini apa?” soal seorang pakar psikologi Greece, Salina Karavela, kepada kelas.

“Ini adalah sebatang pen,” jawab kesemua murid dengan serentak.

Terkandas di Greece disebabkan penutupan sempadan di sepanjang laluan Barat Balkan, Samira dan kawan-kawannya berserta keluarga mereka merupakan dalam kalangan 20,000 orang pelarian yang layak bagi penempatan semula.

Kelihatan dua orang kanak-kanak bermain basikal di Greece. – Xinhua
Kelihatan dua orang kanak-kanak bermain basikal di Greece. – Xinhua
NGO membantu kanak-kanak ini dengan memadatkan jadual-jadual kelas dan melaksanakan aktiviti-aktiviti secara mingguan. – Xinhua
NGO membantu kanak-kanak ini dengan memadatkan jadual-jadual kelas dan melaksanakan aktiviti-aktiviti secara mingguan. – Xinhua
Bukan mudah bagi kanak-kanak menyesuaikan diri dalam kelas kerana sebahagian mereka tidak pernah bersekolah atau tidak bersekolah lebih daripada dua tahun. – Xinhua
Bukan mudah bagi kanak-kanak menyesuaikan diri dalam kelas kerana sebahagian mereka tidak pernah bersekolah atau tidak bersekolah lebih daripada dua tahun. – Xinhua
Kanak-kanak pelarian mempunyai kesukaran untuk menunjukkan perasaan sebenar mereka. – Xinhua
Kanak-kanak pelarian mempunyai kesukaran untuk menunjukkan perasaan sebenar mereka. – Xinhua

Sebagai sebahagian daripada program layanan baik dan penempatan, ‘Home for Hope’, yang dikendalikan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Solidarity Now, dengan sokongan dana UNHCR dan kesatuan Eropah (EU), beribu-ribu orang pelarian dan pemohon suaka telah mendapat perlindungan sementara seperti di pangsapuri-pangsapuri persendirian dan melibatkan hotel-hotel.

‘Theoxenia’, merupakan salah sebuah hotel daripada dua buah hotel yang mengambil bahagian dalam projek di Athens itu, menempatkan 200 orang, dan 60 orang kanak-kanak dalam kalangan mereka. Selain daripada perumahan, Solidarity Now juga menyediakan sejumlah perkhidmatan-perkhidmatan percuma, seperti maklumat, kaunseling psikologi dan undang-undang, aktiviti rekreasi dan pendidikan kepada pelarian.

“Ia adalah penting bagi kami bahawa mereka (pelarian) menjalani kehidupan yang normal, semasa mereka berada di Greece,” kata ketua komunikasi dan pengumpulan dana di Solidarity Now, Sophia Ioannou.

Oleh sebab pendidikan bagus untuk semua orang, tanpa diskriminasi dan had, NGO menyokong inisiatif seperti itu dengan jadual-jadual kelas dan melaksanakan aktiviti-aktiviti secara mingguan.

“Kami sedaya upaya membawa keluar para pelajar, membuat lawatan ke taman permainan, berjumpa dan bersosial dengan kanak-kanak lain, berkomunikasi melalui lukisan dan pembelajaran Bahasa Greek, Inggeris dan Arab setiap hari bagi membantu mereka menyesuaikan diri dalam masyarakat di mana mereka akan ditempatkan dan menjadi rumah baru mereka,” kata Ioannou.

Di dalam kelas Samira, anda boleh melihat kanak-kanak yang begitu berminat untuk belajar, ikut serta dan bermain.

“Kanak-kanak menyukainya dan mereka sangat memerlukannya. Mereka begitu bersemangat untuk belajar perkara baru, bahasa baru, matematik dan Bahasa Arab,” kata Karavela.

Namun menurut Karavela, ia bukan mudah bagi kanak-kanak itu, kerana sebahagian mereka tidak pernah bersekolah atau tidak bersekolah selama lebih daripada dua tahun. Malah mereka juga menderitai perjalanan yang menakutkan dari sebuah negara yang dilanda peperangan.

“Mereka mempunyai kesukaran untuk menunjukkan perasaan sebenar mereka. mereka memendam banyak kemarahan dan kekecewaan, mereka belum belajar bagaimana untuk mengekspresikan emosi mereka dengan cara yang kreatif,” tekan beliau.

Liana Markaki, orang yang bertanggungjawab bagi aktiviti-aktiviti ciptaan cuba menarik perhatian kanak-kanak dengan memilih pelbagai jenis bahan dan tema.

“Saya cuba mencari perkara yang menarik, seperti bahan-bahan yang kami gunakan. Mereka suka melukis bersama di atas kertas yang besar, atau bermain dengan tanah liat. Ada suatu ketika keadaan cuaca hujan, kami meminta mereka melukis hujan,” jelasnya.

Tetapi apa yang Liana lihat dalam lukisan mereka?

“Anda boleh lihat kegelapan, kesemua kanak-kanak melukis rumah, tetapi ia berwarna hitam, mereka melukis wajah dan hati, tetapi hitam masih mengatasi semuanya,” katanya dalam keadaan tertekan.

“Jika anda tidak melihat lukisan mereka, anda tidak boleh membayangkan apa yang mereka telah lalui,” jelasnya.

Bagi Liana, yang terpaksa melepaskan kerjanya ketika krisis kewangan Greece dan bermula sebagai seorang sukarelawan di Lesvos pada tahun 2015. Beliau berkata bahawa beliau tidak mahu mencari pekerjaan lain, kerana beliau gembira dengan peranan barunya itu.

“Ketika anda memasuki bilik itu setiap pagi, lebih daripada 10 orang kanak-kanak berlari ke arah anda dan merayu anda untuk memulakan pembelajaran. Ia sesuatu yang menyentuh perasaan,” kata Liana. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA