Kelayakan 2018 tanpa Messi, Neymar

Kelayakan 2018 tanpa Messi, Neymar

MONTEVIDEO, Uruguay, 7 Okt (AFP) – Bintang Barcelona, Lionel Messi dan Neymar terlepas aksi Kelayakan Piala Dunia 2018 zon Amerika Selatan bersama Brazil dan Argentina yang membuka tirainya, awal pagi Jumaat ini.

Selain Messi yang cedera dan Neymar yang menjalani penggantungan, beberapa lagi bintang ternama benua itu yang tidak beraksi termasuk penyerang Uruguay, Luis Suarez dan Edinson Cavani, bintang Colombia, James Rodriguez yang turut berdepan kecederaan.

Kuasa besar Amerika Selatan, Brazil dan Argentina dipalit kekecewaan dalam dua kejohanan besar termasuk Copa Amerika yang dimenangi Chile, tahun ini.

Pada Copa America, kempen Brazil ditamatkan Paraguay di suku akhir yang menambah parut Selecao selepas kekalahan mengejutkan di Piala Dunia 2014 kepada Jerman.

Kempen Copa America Argentina pula berakhir menerusi penentuan penalti kepada Chile di final dan ia jelas menambah kekecewaan juara dunia dua kali itu yang turut tewas di peringkat sama di Piala Dunia 2014.

Ramai bintang terkenal Amerika Selatan tidak dapat beraksi dalam kelayakan Piala Dunia kali ini termasuk Messi dan Neymar. – Reuters
Ramai bintang terkenal Amerika Selatan tidak dapat beraksi dalam kelayakan Piala Dunia kali ini termasuk Messi dan Neymar. – Reuters

Kekalahan itu meneruskan kemarau Albiceleste yang gagal memenangi sebarang gelaran major sejak 1993. Pada kempen kelayakan kali ini, Brazil akan membuat kunjungan ke Santiago bertemu Chile manakala Argentina berdepan Ecuador di Buenos Aires.

Andai prestasi semasa diambil kira, juara Copa America Chile jelas dianggap pilihan namun Brazil menuju perlawanan dengan kemegahan sejarah yang dimilikinya.

Daripada 14 pertembungan sebelum ini, Brazil menang 12 perlawanan, seri sekali dan satu-satunya kekalahan ketika kempen kelayakan Piala Dunia pada 2002.

“Setiap perlawanan mempunyai sejarah yang tersendiri, dan masa berubah namun faktanya adalah kami bermain dengan baik menentang Chile di mana kami bertemu mereka,” kata pemain veteran Brazil, Kaka.

Bekas bintang AC Milan dan Real Madrid, Kaka disenaraikan jurulatih, Dunga bagi menggantikan bintang Liverpool yang tercedera, Philippe Coutinho.

Kemenangan terbaharu Brazil ke atas Chile adalah pada Mac tahun ini dengan keputusan 1-0 yang dicatat di London mengikuti kemenangan pada pusingan kedua Piala Dunia tahun lalu.

“Setiap perlawanan menentang Chile adalah sukar namun kami bertekad untuk menang,” kata pertahanan, David Luiz.

Situasi yang dianggap kritikal bagi Brazil ialah ketiadaan kapten, Neymar yang digantung selepas mencetus kontroversi ketika Copa America bertemu Colombia, Jun lalu. Argentina dalam pada itu terpaksa merasai perlawanan tanpa kelibat bintang ternama, Messi yang mengharungi kecederaan lutut yang serius ketika bermain bersama Barca, bulan lalu.