Kelebihan membina masjid

Kelebihan membina masjid

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 8 Mei – Masjid adalah tempat yang paling dicintai dan disukai oleh Allah Subhanahu Wata’ala, maka orang-orang Islam disuruh memberi perhatian yang serius terhadap pemeliharaan dan memakmurkan masjid dengan berbagai-bagai aktiviti keilmuan dan lain-lain yang berfaedah dan bermanfaat kepada masyarakat.

“Namun yang lebih besar ganjarannya terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid ialah membina masjid itu sendiri, tidak kira apa jua bentuk binaannya sama ada kecil mahupun besar,” kata Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini.

Menurut Khatib, memang tidak dinafikan, perbelanjaan untuk membina masjid bukannya murah dan tidak semua yang berkemampuan.

“Namun, bagi yang tidak berkemampuan untuk membina sebuah masjid, mereka masih berpeluang meraih kelebihan dan mendapat ganjaran pahala membina masjid, iaitu dengan menghulurkan derma kepada tabung-tabung pembinaan masjid.

“Dengan sumbangan derma tersebut, walaupun sedikit insyaAllah kita juga mendapat kelebihan dan ganjaran pahala yang dijanjikan.”

Menurut Khatib lagi, sebagai rakyat dan penduduk di negara ini kita merasa amat bersyukur kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Beginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan tabung dana pembinaan masjid di negara ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah bertitah memperkenankan penubuhan tabung tersebut semasa berangkat pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas baru-baru ini.

Menurut Khatib, dengan tertubuhnya tabung dana bagi pembinaan masjid tersebut, maka orang ramai bolehlah menyumbang kepada tabung berkenaan melalui berbagai cara seperti pemotongan wang melalui arahan tetap kepada bank, sumbangan secara terus kepada akaun tabung dana, menyerahkan sumbangan-sumbangan kepada Jabatan Hal Ehwal Masjid, menderma melalui tabung-tabung dana yang diletakkan di tempat-tempat tertentu seperti masjid-masjid dan bangunan-bangunan, perkhidmatan SMS dan sebagainya.

“InsyaAllah, sebagaimana yang dirancang, setelah tiga bulan tabung dana bagi pembinaan masjid ini dilancarkan, maka faedah menyumbang menerusi pemotongan gaji secara sukarela akan mula dilaksanakan. Oleh yang demikian, orang ramai khasnya rakyat dan penduduk di negara ini adalah digalakkan untuk sama-sama mengambil peluang dan kesempatan keemasan ini untuk melakukan amal jariah, semoga amal jariah yang kita lakukan dengan ikhlas akan diterima Allah SWT dan mendapat ganjaran yang berlipat ganda sepertimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.”

ARTIKEL YANG SAMA