Kelebihan puasa enam Syawal

Kelebihan puasa enam Syawal

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Bulan Ramadan banyak membentuk dan mendidik serta memberi peluang untuk merebut pahala berlipat ganda sekali gus meningkatkan ketakwaan.

Di bulan Ramadan, kita meningkatkan amal ibadat dengan mengerjakan amalan-amalan sunat seperti qiamul-lail, bertadarus atau membaca Al-Quran, bersedekah dan sebagainya.

Perkara ini dijelaskan oleh Khatib dalam khutbah Jumaat, hari ini, sambil menambah, adalah baik amal ibadat tersebut dilakukan dengan istiqamah iaitu dengan melaksanakan berterusan dalam bulan Syawal dan bulan seterusnya.

“Kita hendaklah sama-sama membina kekuatan dan keazaman untuk terus melaksanakan amalan yang telah dilakukan di sepanjang bulan Ramadan ini”.

Islam amat menganjurkan supaya kita istiqamah dalam melaksanakan amalan walaupun sedikit, ujar Khatib.

Amalan berterusan itu adalah lebih afdal atau lebih baik daripada melakukan amalan yang banyak tetapi hanya sekali sekala, apatah lagi jika amalan itu tidak disertai dengan niat ikhlas kerana Allah.

Terdapat amalan-amalan sunat yang dituntut dilakukan dalam bulan Syawal antaranya puasa sunat enam hari di bulan Syawal.

“Mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal setelah mengerjakan puasa fardu di bulan Ramadan diibaratkan berpuasa sepanjang tahun,” jelas Khatib.

Menurut Khatib lagi, berdasarkan perkiraan, setiap kebajikan itu dibalas dengan 10 kali ganda, oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau 10 bulan berpuasa.

Puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa dan dengan itu genaplah ia setahun.

Ada pun mengerjakan puasa enam dengan berturut-turut bermula hari kedua adalah lebih afdal dan utama.

Bagaimanapun, jelas Khatib lagi, ia boleh dibuat pada bila-bila masa asalkan di bulan Syawal.

Puasa enam di bulan Syawal sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh dan sunat dikerjakan oleh orang tidak puasa sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak.

Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja, hukumnya haram melakukan puasa enam selagi belum mengqada puasanya.

Ada pun orang yang meninggalkan puasanya itu kerana keuzuran Syarie, bolehlah ia melakukan qada Ramadan sekali gus dengan puasa enam dalam bulan Syawal dengan syarat hendaklah berniat kedua-duanya bagi tujuan mendapat ganjaran untuk kedua-duanya.

Menurut Khatib lagi, para ulama ada menyatakan, ganjaran yang akan diterima bagi mereka yang menyatukan puasa qada dan puasa sunat enam, tidak sama dengan ganjaran pahala yang diterima oleh mereka yang berpuasa enam setelah berpuasa penuh satu bulan.

Khatib turut berkata bahawa, dalam merayakan Aidilfitri, suasana rumah terbuka merupakan tradisi yang tidak asing di negara kita, dengan pelbagai juadah dihidangkan oleh tuan rumah kepada tetamu yang hadir dan setentunya hidangan tersebut akan menaikkan selera tetamu.

“Juadah seperti kuih muih, nasi serta lauk pauk dan pelbagai jenis minuman kadang kala menyebabkan kita lupa tahap kesihatan diri”, tegasnya.

Oleh itu, Khatib dalam khutbahnya mengingatkan bahawa, makan secara berlebihan boleh menyebabkan ketidakselesaan pada perut dan akhirnya berlaku peningkatan berat badan dan boleh mengundang pelbagai jenis penyakit.

“Kita perlu tahu memilih makanan bagi menentukan kesihatan kita,” tegas khatib.

Dalam sibuk merayakan dan memuliakan Hari Raya Aidilfitri, janganlah sampai lalai dan lupa melakukan amal ibadat terutama solat lima waktu.

Di samping itu, tegas Khatib lagi, laksanakan juga amalan sunat seperti puasa enam, mudah-mudahan segala amal ibadat yang dilakukan diterima Allah.

ARTIKEL YANG SAMA