Kelembapan ekonomi China pengaruhi perniagaan Asia Pasifik

Kelembapan ekonomi China pengaruhi perniagaan Asia Pasifik

SINGAPURA, 9 Sept – Kelembapan ekonomi China mempengaruhi keadaan perniagaan di Asia Pasifik, kata Standard & Poor’s Ratings Services.

Dalam laporan mengenai prospek kredit Asia Pasifik bagi suku keempat 2015, agensi penarafan itu berkata kelembapan ekonomi China mempengaruhi lima keadaan perniagaan utama – harga komoditi, mata wang, aliran modal, perniagaan dan keyakinan pengguna dan perbelanjaan modal masa hadapan.

Penganalisis Kreditnya, Terry Chan, berkata kelembapan kuasa ekonomi dunia itu menjejaskan keyakinan perniagaan dan harga komoditi, pelombong Asia Pasifik dan syarikat minyak.

“Penurunan keyakinan pelabur mencetuskan jualan mata wang Asia Pasifik, mendedahkan korporat kepada risiko mata wang dan potensi pengaliran keluar modal,” katanya.

Menurut laporan itu, sektor logam dan perlombongan Asia Pasifik merasai kejutan terbesar daripada kelembapan ekonomi China.

“Ini tidak mengejutkan memandangkan hakikat bahawa China menggunakan 40 hingga 50 peratus daripada jumlah pengeluaran bahan mentah global,” kata laporan itu.

Sektor kereta, kimia, perjudian, logam dan perlombongan dan teknologi menanggung beban daripada kesan ini.

Sektor yang mengalami kesan sederhana termasuklah bahan binaan, barangan modal, produk pengguna, institusi kewangan, minyak dan gas, pembangunan hartanah, runcit dan pengangkutan.

Menurut laporan itu, sektor insurans, kewangan awam, amanah pelaburan hartanah, kewangan berstruktur, telekomunikasi, prasarana pengangkutan dan utiliti hanya merasai kesan yang kecil. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA