Kelembapan ekonomi sukar tingkat perdagangan M’sia-China

Kelembapan ekonomi sukar tingkat perdagangan M’sia-China

IPOH, 5 Jan (Bernama) – Sasaran peningkatan nilai perdagangan antara Malaysia dan China kepada AS$160 bilion menjelang 2017 mungkin sukar dicapai disebabkan kelembapan ekonomi negara Tembok Besar itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ketika ini nilai perdagangan antara kedua-dua negara adalah AS$100 bilion.

Beliau berkata walaupun pertumbuhan ekonomi China disasar berkembang pada kadar 6.5 peratus tahun ini dan dianggap baik dalam konteks negara itu, namun ia memberi kesan kepada ekonomi global.

‘Pertumbuhan ekonomi China pernah capai 10 peratus, tahun lepas sekitar 6.9 peratus dan tahun ini dikatakan 6.5 peratus…ia masih pertumbuhan yang baik dalam konteks negara itu.

‘Tapi pertumbuhan ini turun sedikit dan ia beri kesan kepada dunia, kepada kita (Malaysia) dan target kita untuk cecah AS$160 bilion menjelang 2017, kita rasa tak tercapai,’ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di sini hari ini.

Datuk Seri Mustapa Mohamed pada sidang media selepas sesi Taklimat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA) di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. – Bernama
Datuk Seri Mustapa Mohamed pada sidang media selepas sesi Taklimat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA) di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. – Bernama

Mengenai TPPA, Mustapa berkata pihaknya giat membuat penerangan di seluruh negara sebelum dokumen itu dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 26 dan 27 Januari ini, sebelum diteruskan di Dewan Negara pada 28 Januari.

Katanya antara cabaran paling sukar adalah untuk menjelaskan kepada rakyat di peringkat akar umbi mengenai kebaikan TPPA dengan menggunakan bahasa paling mudah difahami, sekali gus menepis tohmahan negatif pihak tertentu.

‘Kerajaan mahu sebelum dokumen TPPA ini sampai ke Parlimen, biar ramai rakyat tahu tentangnya. Tidak adil anggota Parlimen faham, tetapi masyarakat tidak tahu implikasi penyertaan (negara) dalam TPPA,’ katanya.

Mustapa berkata kenaikan kos sara hidup menjadi antara isu yang menjadi kebimbangan rakyat jika TPPA diratifikasi namun, kerajaan berjanji ia mampu diatasi.

Rundingan TPPA yang dilancarkan pada 2005, melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

ARTIKEL YANG SAMA