Kelembapan KDNK China boleh jejas pertumbuhan global

Kelembapan KDNK China boleh jejas pertumbuhan global

BEIJING, 15 Dis (Bernama) – Penurunan mendadak keluaran dalam negara kasar (KDNK) China kepada 2.3 peratus semasa tempoh 2016-2018 akan menjejaskan perdagangan global dan membantutkan pertumbuhan dengan pasaran sedang pesat membangun dan korporat global merupakan antara yang akan paling merasai kesan ini, demikian menurut kajian oleh Fitch Ratings.

Seterusnya, ini akan menjadikan kadar faedah jangka pendek dan harga komoditi berada pada paras rendah untuk tempoh yang lebih lama.

Senario andaian ini tidak mencerminkan jangkaan bagi pertumbuhan China tetapi bertujuan untuk menguji hubungan kredit antara China dan seluruh negara lain di dunia.

“Peningkatan pesat China sebagai kuasa ekonomi global dan hubungan kukuhnya dengan negara lain di seluruh dunia, telah memaksa pelabur kredit global untuk menimbang dengan berhati-hati potensi impak penurunan mendadak China.

Pekerja pejabat berjalan antara bangunan komersial di Beijing pada 15 Disember. Pertumbuhan China berdepan kemerosotan tahun lalu dan semakin perlahan pada tahun ini, membangkitkan kebimbangan mengenai impaknya ke atas pasaran global. – AFP
Pekerja pejabat berjalan antara bangunan komersial di Beijing pada 15 Disember. Pertumbuhan China berdepan kemerosotan tahun lalu dan semakin perlahan pada tahun ini, membangkitkan kebimbangan mengenai impaknya ke atas pasaran global. – AFP

“Selepas memantau hubungan kewangan dan perdagangan China di seluruh dunia, jelas bahawa penurunan aktiviti ekonomi China yang lebih tinggi daripada dijangkakan akan memberi kesan mendalam kepada pertumbuhan global, kualiti kredit korporat dan dasar monetari,” kata pengarah kanan penyelidikan kredit makro Fitch, Bill Warlick.

Beliau berkata senario andaian kelembapan China ini, dirangka dengan bantuan Model Ekonomi Global Oxford Economics, akan memperlahankan pertumbuhan KDNK dunia kepada 1.8 peratus pada 2017 daripada kes asas Ogos Oxford pada 3.1 peratus.

Tumpuan kesan daripada penurunan mendadak secara umumnya kekal tidak berubah dari 2010, apabila Fitch dan Oxford menjalankan kajian yang sama.

“Kesan negatif seperti permintaan pengguna global yang perlahan dan lebihan bekalan komoditi akan berterusan atau semakin buruk,” kata pengarah urusan korporat Asia Pasifik Fitch, Andrew Steel.

Menurut Fitch, kesan kelembapan China akan paling dirasai oleh pasaran sedang pesat membangun terutamanya di Asia dan Amerika Latin berikutan China merupakan rakan dagangan terbesar bagi kebanyakan negara di rantau ini.