Kelibat buaya bimbangkan penduduk

Kelibat buaya bimbangkan penduduk

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 8 Julai – Kemunculan seekor buaya yang dilihat berjemur di kawasan feri lama di Kampung Sungai Teraban, di sini, kelmarin, telah menambah kebimbangan penduduk persekitaran di kampung berkenaan.

Seorang pembaca akhbar ini, telah berjaya merakamkan gambar seekor buaya yang agak besar, sedang berjemur di atas batang kayu di pinggir sungai kampung tersebut.

Beberapa penduduk yang sempat ditemui memberitahu, buaya memang sering kelihatan di kawasan sungai kampung itu, sehubungan itu mereka sering berhati-hati untuk mengelakkan mendekati kawasan persisiran sungai terutama sekali kepada kalangan kanak-kanak.

Kebimbangan mengenai kemunculan pemangsa berkenaan meningkat berikutan tragedi ngeri yang mana seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut ekoran disambar seekor buaya di kawasan tebing sungai belakang rumahnya.

Mangsa, Awang Mohd Haikal Al-Majid bin Solihin, ditemui ayahnya dalam keadaan tertiarap di kawasan berdekatan dengan rumpun pokok bakau kira-kira 100 meter daripada kawasan lopak tempatnya bermain bersama dua lagi abangnya, dengan luka di bahagian tangan, berlubang di kepala, serta luka parah di leher dan bahagian belakang.

Seekor buaya dilihat sedang bersadai di atas batang kayu di tebing sungai Kampung Sungai Teraban berdekatan dengan kawasan Feri lama, kelmarin.
Seekor buaya dilihat sedang bersadai di atas batang kayu di tebing sungai Kampung Sungai Teraban berdekatan dengan kawasan Feri lama, kelmarin.

Dalam temu bual Media Permata, ayah mangsa, Awang Salihin bin Osman, menyatakan harapan agar pihak berkenaan dapat membina pagar di sekeliling kawasan tebing-tebing sungai yang berdekatan dengan rumah di kampung tersebut, demi menghindari bahaya terutama sekali kepada kalangan kanak-kanak yang kadang-kadang suka memancing di tebing sungai.

Sementara itu, beberapa penduduk kampung lainnya turut memberitahu, buaya sering kelihatan di sungai kampung itu, dan mereka sering meluahkan bimbang mengenainya apa lagi jika musim air pasang, kadang-kadang air naik tinggi mendekati bawah rumah mereka.