Kelly sertai kelompok teratas wanita

Kelly sertai kelompok teratas wanita

SAN MARTIN, California, 8 Julai – Pemain golf profesional Malaysia, Kelly Tan beraksi cemerlang pada pusingan pertama Terbuka Wanita Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai kelompok teratas dengan catatan empat bawah par 68.

Wakil tunggal negara itu turun dalam kumpulan awal, mendahului saingan apabila mengumpul enam birdie dan dua bogey, tetapi dipintas Mirim Lee dari Korea Selatan yang mencatat lapan bawah par 64, dan kelompok dua pemain pada lima bawah par 67 – Minjee Lee (Australia), Cristie Kerr (AS) dan Amy Yang (Korea Selatan).

Dua bogey Kelly hadir di awal permainan namun dia bangkit memburu birdie yang meletakkannya di tangga kelima bersama dua pemain lain, Brittany Lang (AS) dan Anna Nordqvist (Sweden).

Dua pemain remaja yang menduduki ranking tertinggi dunia – Lydia Ko dari New Zealand dan Brooke Henderson (Kanada) – sekadar mencatat satu atas par 73 dan empat atas par 75 pada hari pertama saingan.

Kelly Tan ketika membuat pukulan tee di lubang kelapan pada pusingan pertama Terbuka Wanita AS di Kelab Golf CordeValle semalam di San Martin, California. - AFP
Kelly Tan ketika membuat pukulan tee di lubang kelapan pada pusingan pertama Terbuka Wanita AS di Kelab Golf CordeValle semalam di San Martin, California. – AFP

Pemain nombor satu dunia, Ko yang memegang rekod sebagai pemain paling muda menduduki ranking tertinggi itu pada usia 17 tahun, dan memenangi major pertamanya pada usia 18, menyaksikan tiga birdie dicatat dipadamkan dengan empat bogey.

Henderson di tangga kedua dunia, yang memburu gelaran major keduanya tahun ini selepas gelaran sulung di Kejuaraan PGA Wanita bulan lalu, bergelut sepanjang pusingan pertama apabila mengumpul dua birdie dan enam bogey. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA