Kelonggaran monetari AS punca ringgit jatuh

Kelonggaran monetari AS punca ringgit jatuh

LABUAN, 30 Okt (Bernama) – Penurunan nilai ringgit Malaysia adalah disebabkan oleh kelonggaran dasar monetari Amerika Syarikat dan proses pemulihan ekonominya, kata Pakar Ekonomi Utama Kumpulan Penyelidikan Pembangunan Bank Dunia, Norman Loayza.

“Pada pandangan saya, ia bukan isu khusus negara, penurunan adalah disebabkan oleh ekonomi AS yang sedang pulih,” katanya pada Persidangan Ulang Tahun Ke-25 Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), di sini, Jumaat.

Beliau berkata penting bagi mana-mana ekonomi matang untuk melihat kepada produktiviti yang termasuk inovasi, pendidikan, kecekapan, prasarana dan kewangan, sebagai kunci kepada pertumbuhan.

“Persediaan semasa tempoh ekonomi baik menerusi dasar kewangan dan makroekonomi yang berhemat, insurans dan perlindungan sosial bersasar dan sektor swasta fleksibel merupakan antara isu-isu penting yang perlu ditumpukan dalam menguruskan risiko dan krisis,” katanya.

Loayza berkata kualiti prasarana dan paras pendapatan di Asia Timur adalah sangat memberangsangkan, dan rantau-rantau membangun lain mahu mencontohi pembangunan ekonominya.

ARTIKEL YANG SAMA