Keluar dari belenggu pentingkan diri

Keluar dari belenggu pentingkan diri

Sepanjang tahun ini, kita sering mendengar istilah berhemat, subsidi dan keusahawanan. Sekali dengar, memang istilah tersebut menggambarkan positifnya masa depan negara. Namun kalau diperhatikan secara terperinci, ada sesuatu yang tidak kena, malah menjurus ke arah ketenatan ekonomi kita.

Dengan harga minyak yang turun merudum di sekitar US$35 setong, dan harga barangan rumah dan teknikal yang tidak akan pernah turun, ditambah lagi dengan sikap segolongan rakyat negara yang kurang patriotik dalam mendokong pembangunan ekonomi negara, timbul persoalan terhadap sara diri negara yang berkaitan dengan sumber-sumber asli kita, terutamanya pertanian.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan pernah menyatakan rasa terkilan Baginda pada pertengahan tahun 2009 mengapa sara diri penanaman padi dan beras hanya setakat 3.12% walhal krisis keselamatan makanan sedang mengganas pada waktu itu.

Dan pernah kementerian yang berkenaan menjanjikan yang peratus sara diri akan ditingkatkan kepada 20% pada tahun 2010 dan kepada 60% lima tahun kemudian. Sekarang, hampir melangkah ke tahun 2016.

Benarkah kita sudah mencapai 60% sara diri? Mampukah kita merasa puas sedangkan kita masih sahaja tidak kurang-kurangnya mengimport beras dari negara jiran? Apakah kita tidak memikirkan jika negara tersebut dilanda bala bencana dan hilang kemampuan untuk membekalkan beras mereka ke negara kita?

Mengapa sahaja kita sanggup menikmati hasil titik peluh orang lain sedangkan kita ada rakyat yang berkemampuan dan kawasan tanah yang subur untuk diusahakan? Adakah perancangan kita

berkesan dalam menangani cabaran seperti kesesuaian tanah, ancaman perubahan iklim dan yang penting, berhemah dalam belanjawan perusahaan?

Mengapa mesti timbul rasa nafsu-nafsi dalam penanaman padi dan beras sedangkan kita sebagai rakyat harus, malah wajib bersatu dalam mencapai Wawasan 2035? Atau adakah wawasan agung ini sudah kelihatan kabur dan berpinar-pinar?

Sudah sampai masanya kita keluar dari belenggu pentingkan diri ini demi menerajui pembangunan perusahaan dan keusahawanan negara. Sudah tiba saatnya untuk kita lepas dari kepompong yang menghalang kita daripada mencapai impian, cita-cita dan hasrat kita untuk jadi anak merdeka, berdaulat, aktif, progresif dan tahan diuji zaman. Hidup Brunei Darussalam, hidup generasi berwawasan. – Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA