Keluaran getah asli Malaysia meningkat pada Oktober

Keluaran getah asli Malaysia meningkat pada Oktober

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) – Keluaran getah asli Malaysia pada Oktober 2015 berjumlah 70,843 tan, meningkat 3.8 peratus atau 2,583 tan berbanding pengeluaran pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan hari ini.

Berdasarkan perbandingan dengan Oktober 2014, pengeluaran meningkat 47.4 peratus atau 22,791 tan, katanya dalam kenyataan mengenai perangkaan bulanan getah bagi bulan Oktober 2015.

Sektor pekebun kecil menyumbang 91.8 peratus daripada jumlah pengeluaran manakala sektor ladang menyumbang selebihnya sebanyak 8.2 peratus.

Eksport berjumlah 55,398 tan, berkurangan sebanyak 9.5 peratus berbanding September 2015, namun meningkat 1.3 peratus berdasarkan rekod tahun ke tahun.

Ia berkata Getah Mutu Malaysia (SMR) menyumbang 94.3 peratus daripada jumlah eksport.

Pada bulan yang sama, getah asli sebahagian besarnya dieksport ke China (51.1 peratus), diikuti Jerman (12.1 peratus), Iran (5.9 peratus, Brazil (2.8 peratus), Korea (2.6 peratus), Perancis (2.2 peratus), Turki (2.2 peratus) dan Taiwan (dua peratus).

Pada Oktober 2015, import getah asli sebanyak 83,925 tan atau peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding September 2015. Peningkatan 7,064 tan (9.2 peratus) direkodkan tahun ke tahun.

Jenis utama getah asli yang diimport membabitkan Lateks Pekat (32 peratus) dan Getah Berpiawaian (30.8 peratus). Getah berkenaan kebanyakannya diimport dari Thailand dan Vietnam, masing-masing pada 56.1 peratus dan 21.3 peratus.

Penggunaan domestik getah asli pada Oktober 2015 berjumlah 41,790 tan, peningkatan sebanyak 3,112 tan atau lapan peratus berbanding September 2015, manakala perbandingan tahun ke tahun juga menunjukkan peningkatan 4,561 tan atau 12.3 peratus.

Industri utama yang menggunakan getah asli pada Oktober adalah industri sarung tangan getah membabitkan sejumlah 30,743 tan (73.6 peratus), diikuti tayar dan tiub (8.3 peratus) dan benang getah (7.3 peratus).

Ketiga-tiga industri berkenaan menggunakan sejumlah 37,277 tan (89.2 peratus) getah asli, kata jabatan berkenaan.