Keluaran kasar industri pertanian meningkat 6.8%

Keluaran kasar industri pertanian meningkat 6.8%

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Keluaran kasar industri pertanian dan agrimakanan mengikut nilai pasaran bagi suku tahun pertama 2016 (Q1 2016) meningkat sebanyak 6.8 peratus atau $6.15 juta berbanding nilai keluaran kasar pada suku tahun pertama 2015 (Q1-2015), meningkat daripada $90.93 juta kepada $97.08 juta.

Daripada jumlah nilai keluaran kasar bagi Q1-2016 tersebut, sebanyak 57.3 peratus ($55.67 juta) adalah sumbangan daripada sektor ternakan; 28.9 peratus ($28.01 juta) adalah sumbangan dari sektor agrimakanan; dan 13.8 peratus ($13.40 juta) adalah sumbangan dari sektor tanaman, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) mengenai Pencapaian Suku Pertama (Januari-Mac 2016) Keluaran Industri Pertanian dan Agrimakanan KSSUP.

Menurut kenyataan itu lagi, nilai keluaran kasar sektor ternakan bagi Q1-2016 mencatatkan peningkatan sebanyak 14.1 peratus atau $6.88 juta berbanding pencapaian Q1-2015, iaitu peningkatan daripada $48.79 juta (Q1-2015) kepada $55.67 juta (Q1-2016).

Bagi sektor agrimakanan, nilai keluaran kasar Q1-2016 juga mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus atau sebanyak $1.28 juta berbanding pencapaian Q1-2015, iaitu peningkatan daripada $26.73 juta (Q1-2015) kepada $28.01 juta (Q1-2016).

Walau bagaimanapun, nilai keluaran kasar bagi sektor tanaman pula telah mencatatkan penurunan sebanyak 13 peratus atau $2.01 juta berbanding pencapaian Q1-2015, iaitu penurunan daripada $15.41 juta (Q1-2015) kepada $13.40 juta (Q1-2016).

Penyumbang utama kepada peningkatan nilai keluaran kasar sektor ternakan pada Q1-2016 ($55.67 juta) adalah peningkatan nilai keluaran yang direkodkan bagi komoditi telur ayam iaitu daripada $6.36 juta (Q1-2015) kepada $7.62 juta (Q1-2016); dan juga peningkatan nilai keluaran bagi komoditi makanan ternakan iaitu daripada $8.93 juta (Q1-2015) kepada $14.59 juta (Q1-2016).

Mengikut pecahan komoditi, bagi pencapaian sektor ternakan untuk Q1-2016, komoditi ayam pedaging merupakan penyumbang terbesar kepada nilai keluaran sektor ternakan iaitu sebanyak $26.08 juta atau 46.8 peratus daripada nilai keseluruhan sektor ternakan; kemudian diikuti oleh komoditi makanan ternakan yang menyumbang sebanyak $14.59 juta atau 26.2 peratus; telur ayam sebanyak $7.62 juta atau 13.7 peratus; penetasan anak ayam sebanyak $5.12 juta atau 9.2 peratus; telur berbenih sebanyak $1.88 juta atau 3.4 peratus; dan selebihnya iaitu bagi komoditi daging kerbau dan lembu, daging kambing, dan pelbagai ternakan, secara keseluruhannya menyumbang sebanyak $0.39 juta atau 0.7 peratus.

Keluaran sektor agrimakanan mengikut nilai pasaran pada Q1-2016 ($28.01 juta) pula mencatatkan peningkatan yang positif sebanyak 4.8 peratus berbanding pencapaian pada Q1-2015 ($26.73 juta).

Penyumbang utama kepada peningkatan nilai keluaran kasar sektor agrimakanan pada Q1-2016 ini adalah disebabkan oleh peningkatan nilai keluaran yang direkodkan bagi komoditi pemprosesan berasaskan tanaman yang mencatatkan peningkatan sebanyak $2.81 juta atau 16.9 peratus iaitu daripada $16.65 juta (Q1-2015) kepada $19.46 juta (Q1-2016).

Bagi komoditi pemprosesan berasaskan ternakan, nilai keluaran bagi komoditi ini mencatatkan penurunan sebanyak $1.54 juta atau 15.3 peratus iaitu dari 10.09 juta (Q1-2015) kepada $8.55 juta (Q1-2016).

Sementara itu, keluaran sektor tanaman mengikut nilai pasaran bagi Q1-2016 pula mencatatkan penurunan sebanyak 13.01 peratus atau $2.01 juta berbanding dengan pencapaian Q1-2015, iaitu penurunan daripada $15.41 juta (Q1-2015) kepada $13.40 juta (Q1-2016).

Penurunan ini adalah disebabkan penurunan nilai keluaran bagi komoditi sayur-sayuran yang mencatatkan penurunan daripada $8.65 juta (Q1-2015) kepada $7.60 juta (Q1-2016); komoditi beras yang mencatatkan penurunan daripada $3.55 juta (Q1-2015) kepada $2.48 juta (Q1-2016); dan komoditi bunga keratan yang mencatatkan penurunan daripada $0.04 juta (Q1-2015) kepada $0.03 juta (Q1-2016).

Mengikut pecahan komoditi, bagi pencapaian sektor tanaman Q1-2016, komoditi sayur-sayuran merupakan penyumbang terbesar kepada nilai keluaran sektor tanaman iaitu sebanyak $7.60 juta atau 56.7 peratus daripada nilai keseluruhan sektor tanaman; kemudian diikuti dengan komoditi beras yang menyumbang sebanyak $2.48 juta atau 18.5 peratus; buah-buahan sebanyak $1.52 juta atau 11.3 peratus; tanaman hiasan sebanyak $1.15 juta atau 8.6 peratus; pelbagai tanaman sebanyak $0.63 juta atau 4.7 peratus; dan seterusnya komoditi bunga keratan menyumbang sebanyak $0.03 juta atau 0.2 peratus.

ARTIKEL YANG SAMA