Keluaran minyak dan gas tidak terjejas

Keluaran minyak dan gas tidak terjejas

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Walaupun harga pasaran minyak global yang telah jatuh sebanyak 75 peratus sejak bulan Jun 2014, daripada paras AS$122 kepada AS$30, ia tidak menjejaskan pengeluaran minyak dan gas Negara Brunei Darussalam.

Pada tahun 2015, pengeluaran minyak dan gas negara telah melepasi tiga peratus daripada sasaran awal iaitu 370,000 BOE (Barrel of Oil Equivalent) sehari yang lima peratus lebih tinggi daripada pengeluaran keseluruhan pada tahun 2014.

Pada masa yang sama, Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar memberitahu, 55.42 juta BOE (Barrel of Oil Equivalent) iaitu sumber minyak dan gas yang baru telah berjaya diperolehi, bagi industri hiliran pula, dua industri Pelaburan Langsung Asing (FDI), dijangka akan memulakan operasi pada tahun 2019 iaitu sebuah loji penapis minyak di Pulau Muara Besar dan sebuah loji di Sungai Liang.

Projek-projek berkenaan akan menjana 1,000 peluang pekerjaan langsung bagi anak-anak tempatan dan lebih kurang 2,000 secara tidak langsung bagi anak-anak tempatan, ujar Yang Berhormat Pehin pada hari keempat Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara (MMN), pagi tadi.

Yang Berhormat Pehin juga berkata bahawa Jabatan Tenaga dan Perindustrian telah berganding bahu dengan kementerian-kementerian dan agensi lain untuk merangka undang-undang mengenai kesihatan dan keselamatan iaitu Control of Major Accident Hazard Regulation yang perlu dihadapkan ke Jabatan Tenaga dan Perindustrian bagi penilaian keselamatan operasi berkenaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa pihak kerajaan sedang dalam proses untuk menubuhkan satu badan autoriti kebangsaan Health Safety Environment yang akan menangani isu-isu kesihatan, keselamatan alam sekitar secara menyeluruh.

Yang Berhormat Pehin kemudian turut menyentuh mengenai penjimatan tenaga, yang menurutnya, usaha-usaha penjimatan tenaga akan dipertingkatkan dengan undang-undang piawaian dan pelabelan iaitu Standard Labeling Order yang dijangka akan diperkenalkan pada tahun ini.

Menyentuh mengenai pembangunan perniagaan tempatan, di sektor minyak dan gas, beliau berkata, usaha-usaha jabatan telah meningkatkan local contain daripada kurang 15 peratus iaitu $400 juta pada tahun 2010 kepada 54 peratus iaitu $2.2 bilion pada tahun 2015.

Manakala itu, peningkatan jumlah pekerja tempatan seramai 16,495 orang pengambilan anak-anak tempatan adalah konsisten di mana seramai 2,569 pengambilan anak-anak tempatan telah dicatatkan pada tahun 2015 dan sasaran pada tahun 2016 adalah sebanyak 2,600 pengambilan anak-anak tempatan.

Sebanyak 43 buah syarikat perusahaan kecil dan sederhana tempatan juga telah mendapat kontrak BSJB buat kali pertama dengan nilai keseluruhannya kira-kira $921 juta. Sejak tahun 2011, sebanyak 11 buah syarikat tempatan telah mencatatkan hasil daripada operasi perniagaan mereka di luar negara.

Seperti mana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa pembukaan Musim Permesyuaratan ke-12, MMN, untuk menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi negara, fokus pihak kerajaan tertumpu kepada inisiatif penarikan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang memberi kemanfaatan kepada pihak kerajaan dan mengukuhkan serta mengembangkan perusahaan tempatan.

Walaupun projek-projek FDI dalam lima tahun kebelakangan belum mendatangkan hasil yang memuaskan dan peluang pekerjaan anak-anak tempatan, katanya, pihak kerajaan mengambil iktibar daripada projek-projek FDI terdahulu dan seterusnya akan membuat kajian dengan strategi-strategi FDI baru melalui agensi-agensi FDI Action Supporting Fast dan jawatankuasa pandu pelaburan langsung asing dan industri hiliran.

Dengan ini juga, sebuah ekosistem yang mantap untuk menampung dan memperkasa usaha usahawan-usahawan tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana sedang diutamakan.

Ini, ujar beliau, merupakan peranan badan strategi yang baru iaitu Darussalam Enterprise untuk menggalakkan dan memantau perkembangan perusahaan tempatan, bukan saja dalam negeri tetapi juga untuk menjadi kompetitif di rantau antarabangsa, melalui rangkaian-rangkaian antarabangsa yang telah disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA