Keluarga anak damit bersabung nyawa

Keluarga anak damit bersabung nyawa

KEM PELARIAN JALAZON, Wilayah Palestin, 2 Ogos (AFP) – Ibu bapa dan abang seorang anak damit Palestin yang ditemui rentung akibat perbuatan oleh kumpulan pelampau Israel sedang bersabung nyawa mereka semalam, tatkala warga Israel mengadakan bantahan menentang jenayah kebencian.

Kejadian mengebom dan membakar rumah keluarga berkenaan di Tebing Barat yang diduduki yang mengorbankan anak damit berusia 18 bulan, Ali Saad Dawabsha mencetuskan kemarahan antarabangsa berhubung kegagalan Israel mengekang keganasan oleh kumpulan pelampau peneroka Yahudi.

Bapa anak damit itu, Saad, sedang menerima rawatan kerana cedera terbakar darjah ketiga di hospital Soroka di selatan Israel, di mana jurucakapnya menyifatkan keadaannya adalah “kritikal.”

Ibunya Riham dan abangnya berusia empat tahun, Ahmed sedang menerima rawatan di hospital Tel Hashomer berhampiran Tel Aviv, dengan jurucakap hospital terbabit menyifatkan keadaan mereka adalah mengancam jiwa.

Rumah batu dan simen kecil keluarga mangsa di kampung Duma hangus dijilat api, dan sejurus kejadian itu terdapat tulisan di atas dinding rumah yang bermaksud “balas dendam”.

Gambar anak damit malang, Ali Saad Dawabsha, ditunjukkan oleh anggota keluarganya di kediaman mereka yang menjadi mangsa serangan kumpulan pelampau peneroka Israel. – AFP
Gambar anak damit malang, Ali Saad Dawabsha, ditunjukkan oleh anggota keluarganya di kediaman mereka yang menjadi mangsa serangan kumpulan pelampau peneroka Israel. – AFP

Serangan tersebut pada awal Jumaat lepas menyusuli keadaan tegang di seluruh kawasan penempatan Tebing Barat, dengan kumpulan sayap kanan menentang perobohan dua bangunan yang menurut Mahkamah Tinggi Israel adalah dibina secara haram.

Kerja-kerja merobohkan bangunan berkenaan bermula pada Rabu lepas, tetapi hanya beberapa jam selepas itu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu membenarkan pembinaan segera 300 buah rumah peneroka di kawasan yang sama, sekali gus meningkatkan lagi kemarahan warga Palestin.

Satu delegasi membabitkan para pegawai kanan Palestin, termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin Saeb Erakat, Ketua Keselamatan Pihak Berkuasa Palestin Majed Faraj dan Menteri Kesihatan Jawad Awwad melawat hospital Tel Hashomer pada semalam.

Erakat, yang juga merupakan ketua perunding rundingan damai dengan Israel, menegaskan bahawa Palestin mahu kerajaan Israel “bertanggungjawab sepenuhnya” bagi serangan ke atas keluarga tersebut. Pada petang semalam, beratus-ratus warga Gaza mengadakan majlis memperingati kematian anak damit berkenaan.

Sementara itu di Tel Aviv dan Baitulmaqdis, beribu-ribu warga Israel mengadakan demonstrasi menentang sikap atau fahaman melampau yang melakukan serangan di Duma berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA