Keluarga Bernard Then ke Filipina minggu ini

Keluarga Bernard Then ke Filipina minggu ini

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) – Keluarga mangsa culik rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen, akan ke Manila, Filipina minggu ini bagi menyempurnakan jasad mendiang di sana.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata keluarga mangsa tidak berhasrat membawa pulang jasadnya namun, akan membawa pulang abunya ke tanah air untuk disemadikan.

“Kita telah membuat aturan bersama-sama Wisma Putra dan rakan sejawatan di Filipina untuk membawa lima orang anggota keluarga Then ke Manila untuk menyempurnakan jasadnya di sana…ia akan dilakukan dalam minggu ini.

“Polis akan beri segala kerjasama yang diperlukan dan pegawai-pegawai saya akan turut mengikuti mereka bagi menyempurnakan jasad Then,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman di perkarangan Kompleks 3, Cawangan Khas di sini, hari ini.

Then, yang berasal dari Sarawak, diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei 2015 bersama-sama pengurus restoran itu, Thein Nyuk Fun, 50, yang dibebaskan pada 8 November.

Namun Then, 39, dipenggal kepalanya di lokasi terpencil di kepulauan Jolo, Filipina pada 11 November dan kepalanya dilaporkan ditemui kira-kira seminggu kemudian.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti dokumen berhubung siasatan terhadap bekas eksekutif Petrosaudi International Xavier Andre Justo, yang diterima daripada Jabatan Peguam Thailand.

“Dokumennya banyak, kira-kira 4,000 e-mel, bertimbun-timbun…kita perlu masa untuk meneliti semua dokumen itu,” katanya.

Pada 16 Disember lepas, Khalid mengesahkan pihaknya telah selesai merakam keterangan Justo berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di penjara di Bangkok dan melahirkan keyakinannya kes berkaitan Justo dapat diselesaikan selepas pihaknya menerima dokumen berkaitan kes terbabit daripada pihak berkuasa Thailand.

Justo dijatuhi hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan pada 17 Ogos 2015 selepas mengaku mencuri 90 gigabait data termasuk e-mel, dokumen dan bahan lain daripada PetroSaudi International sebagai cubaannya untuk memeras ugut.