Keluarga bersatu mampu tangani cabaran

Keluarga bersatu mampu tangani cabaran

Oleh Sim Y. H., Anwar Rosly dan Rokiah Mahmud

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Setiap penduduk di Negara Brunei Darussalam harus menanam nilai-nilai wawasan tersendiri dalam keluarga masing-masing bagi mencapai hasrat Wawasan 2035 untuk menjadi sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berpendidikan serta mempunyai kualiti kemahiran yang tinggi.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong berkata, tema sambutan Hari Keluarga tahun ini iaitu ‘Keluarga Berwawasan, Menjana Kecemerlangan’ adalah relevan kerana asas dan nilai Melayu Islam Beraja yang dipraktikkan oleh setiap keluarga berwawasan akan dapat memenuhi serta mencapai objektif visi Wawasan 2035 negara untuk melahirkan rakyat yang berdedikasi dan berwawasan tinggi.

“Tujuan kita adalah untuk menjadi antara sepuluh negara teratas di dunia dari segi pendidikan dan untuk mencapai hasrat itu, didikan agama sebagai pegangan teguh serta menanam nilai-nilai ‘KeBruneian’ yang terkandung dalam ajaran Melayu Islam Beraja akan dapat merapatkan lagi objektif negara ke arah visi tersebut,” jelas Menteri Pendidikan ketika ditemu bual pada acara Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan bagi Zon 1 Daerah Belait yang berlangsung di Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC) hari ini.

Justeru itu Yang Berhormat Pehin menyeru penduduk-penduduk di negara ini agar menyedari akan peranan dan tanggungjawab mereka dalam memastikan setiap keluarga akan menuju ke arah wawasan berkenaan.

Semasa acara itu, tetamu kehormat menyampaikan hadiah “Keluarga Cemerlang” kepada dua penerima iaitu Haji Sabli bin Haji Omar dan Haji Sabli bin Haji Ahmad dan sempat menyaksikan beberapa persembahan dari majlis-majlis perundingan mukim dari Zon 1 Daerah Belait.

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan meninjau salah satu pondok pameran di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan meninjau salah satu pondok pameran di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyaksikan pameran dan jualan yang diadakan sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan bagi Zon 1 Daerah Belait, yang berlangsung di Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC).
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menyaksikan pameran dan jualan yang diadakan sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan bagi Zon 1 Daerah Belait, yang berlangsung di Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC).
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan hadiah kepada peserta perlawanan tarik kalat keluarga semasa Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Daerah Tutong, Zon 2, di Taman Rekreasi Perumahan Negara Bukit Beruang, Tutong.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan hadiah kepada peserta perlawanan tarik kalat keluarga semasa Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Daerah Tutong, Zon 2, di Taman Rekreasi Perumahan Negara Bukit Beruang, Tutong.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan tersebut juga dipelawa untuk melancarkan pertandingan futsal hari keluarga, dan selajur menyaksikan pameran dan jualan dan ikut serta dalam aktiviti-aktiviti Hari Keluarga.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd Yussof semasa ditemu bual berkata, penyertaan ahli-ahli keluarga dalam sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada setiap tahun adalah amat menggalakkan.

Menerusi penyertaan mereka itu, pihak kementerian dapat mengenal pasti kaedah-kaedah yang efektif mengenai cara untuk mengeratkan lagi hubungan mereka.

“Bermula daripada sebuah institusi keluarga yang kecil ia boleh berkembang menjadi sebuah komuniti besar yang harmoni,” katanya sambil menambah bahawa salah satu faktor yang dapat membawa kepada sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni ialah dengan menerapkan nilai-nilai keagamaan dikalangan ahli keluarga.

Dengan mengamalkan nilai-nilai keagamaan serta menggalakkan ikatan harmoni dikalangan ahli keluarga, ia akan melindungi ahli keluarga berkenaan daripada terlibat dalam masalah sosial, perpecahan keluarga dan sebagainya.

Yang Berhormat Pehin menyatakan demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan bagi Zon 2 Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan pagi ini.

Menteri Pembangunan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman pula berkata, pepatah “Bersatu Kita teguh, bercerai kita roboh,” menggambarkan betapa pentingnya institusi keluarga yang teguh, kukuh dan bersatu kerana institusi keluarga begitu bukan sahaja mampu untuk menangani cabaran yang hadir tetapi mampu memberikan sokongan yang diperlukan oleh semua ahli keluarga dalam sama-sama menghadapi cabaran atau rintangan hidup itu.

Dalam masa yang sama, katanya, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga atau anak-anak supaya mereka memahami masalah atau perkara yang berlaku bukan sahaja di dalam kehidupan harian anak mereka tetapi juga dalam kehidupan ahli keluarga yang lain termasuk saudara-mara.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menekankan perkara ini dalam temu bual ringkas selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Daerah Tutong, Zon 2, di Taman Rekreasi Perumahan Negara Bukit Beruang, Tutong, hari ini.

Beliau juga mengalu-alukan inisiatif mengadakan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan namun begitu, masa bersama keluarga tidak harus terhad bagi menghadiri acara seperti sambutan itu sahaja tetapi usaha untuk mengukuhkan talian kekeluargaan harus dieratkan sepanjang masa melalui interaksi keluarga setiap hari.

Melalui interaksi bersama keluarga termasuk bersama saudara-mara, adik-beradik dan ibu bapa, ia mampu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan serta meningkatkan kefahaman keluarga dan membantu menangani pelbagai cabaran yang hadir.

Mengulas mengenai Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan itu, Yang Berhormat Pehin berkata bahawa penyertaan orang ramai yang datang bersama ahli keluarga mereka untuk sama-sama memeriahkan lagi acara merupakan satu petunjuk yang positif serta sambutan yang baik daripada masyarakat mengenai pentingnya institusi keluarga.

Ia juga menunjukkan bahawa ibu bapa serta sekalian anggota keluarga dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama ahli keluarga dan betapa setiap anggota keluarga itu sentiasa mementingkan keluarga dalam apa jua keadaan sekalipun.

ARTIKEL YANG SAMA