Keluarga besar Nasir bergotong-royong bersih kubur

Keluarga besar Nasir bergotong-royong bersih kubur

SAMSUNG CAMERA PICTURES

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Dalam mengeratkan lagi ukhuwah kekeluargaan, Keluarga Besar Nasir bin Tassan seramai 396 orang termasuk keluarga besar dari Wilayah Persekutuan Labuan, hari ini, telah mengadakan kerja amal membersihkan Tanah Perkuburan Islam Buang Tengkurok dan Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Asam.

Aktiviti yang diadakan julung-julung kalinya dan permulaan tahun 2016 ini juga bertujuan bagi sama-sama membuat aktiviti amal lagi berkebajikan di samping memohon keredaan dan pahala daripada Allah S.W.T jua.

Kerja amal ini diketuai oleh Ketua Kampung Lambak Kanan, Haji Jumat bin Nasir selaku Penaung Majlis Keluarga Besar Nasir bin Tassan dan beliau juga merupakan antara orang pertama yang memberi buah fikiran dan kata nasihat bagi melaksanakan kerja-kerja amal ini sehingga ia dilaksanakan dengan sempurna.

Sebelum ini, keluarga besar berkenaan yang berasal dari Kampung Burong Pingai Ayer pernah mengadakan Majlis Ramah Mesra sempena Hari Raya Aidilfitri dan sering mengadakan aktiviti sukan khususnya bola sepak yang mana keluarga ini mempunyai Pasukan Bola Sepaknya sendiri iaitu Nasir Big Family Football Team (NBF FT).

Sebagai perancangan masa depan, mereka merancang akan mengadakan aktiviti yang sama sebelum menjelangnya bulan Ramadan yang akan datang, di samping aktiviti tahunan termasuk acara keagamaan, kebajikan dan sosial serta acara sukan.

ARTIKEL YANG SAMA