Keluarga dibayar ganti rugi $1.6 juta

Keluarga dibayar ganti rugi $1.6 juta

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Sebuah keluarga, semalam, menerima bayaran $1.6 juta dalam satu kes tuntutan ganti rugi untuk kecederaan yang dialami dalam kejadian kemalangan pada 2012 membabitkan seorang peguam di sektor swasta yang didapati memandu secara cuai.

Kemalangan berlaku pada 18 Mac 2012 kira-kira jam 7 malam di persimpangan jalan di Lebuhraya Jalan Rimba apabila defendan membelok kanan ke Jalan Utama Terunjing.

Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli mengarahkan peguam itu, Too Shu Vun untuk membayar $1,691,706.16 kepada keluarga itu, bersama faedah dan kos tuntutan mahkamah.

Keluarga itu, Mohamad Arif bin Abdullah yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu di Kementerian Pertahanan menerima $1,576,275.58 bagi tuntutan kesakitan dan penderitaan yang dialaminya, hilang kemudahan, hilang pendapatan, hilang sumbangan TAP & SCP daripada majikan, hilang dividen daripada TAP & SCP, hilang elaun pendidikan, hilang elaun perjalanan, hilang tambang menunaikan fardu haji, hilang kelayakan perumahan, hilang kos penjagaan sepanjang hayat/bantuan domestik/pemandu, hilang penggunaan kenderaan, ganti rugi khas dan kepentingan lain.

pg06_151130__mahkamah logo

Tuntutan bagi kesakitan dan penderitaannya telah dinilai daripada kecederaan dalam bentuk pelbagai luka pada kedua-dua lutut, patah pada depan dan kanan tulang paha dan keretakan tulang pada muka termasuk tengkorak, kecederaan mata dan kecederaan pergelangan kaki kanan.

Isterinya, Dayang Siti Nor Azerah Idayu binti Haslan pula menerima $63,087,52 bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya dalam bentuk luka dan parut, ganti rugi khas dan kepentingan lain.

Manakala anak mereka, Muhammad Nabil Mubasyir bin Abdullah Mohd Arif menerima $52,343.06 bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya dalam bentuk luka, parut, kecederaan otak, lebam muka, ganti rugi khas dan kepentingan lain.

Muhammad Nabil pada waktu kejadian berusia dua tahun dan telah mengalami pendarahan otak serta tidak dapat berjalan selama seminggu namun pulih kembali tanpa sebarang kecacatan.

Defendan sebelum perbicaraannya telah mengaku bahawa dia memandu keretanya secara cuai ketika itu, dan telah menyebabkan perlanggaran di mana keluarga itu mengalami kecederaan serius.

ARTIKEL YANG SAMA