Keluarga dibenar lawat banduan raya ketiga dan keempat

Keluarga dibenar lawat banduan raya ketiga dan keempat

KUCHING, 1 Julai (Bernama) – Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, keluarga banduan di penjara Sarawak dibenarkan membuat lawatan pada Hari Raya ketiga dan keempat, antara 8.15 pagi dan 4.15 petang, dengan keutamaan diberi kepada banduan beragama Islam.

Jabatan Penjara Sarawak dalam kenyataan berkata ia meliputi banduan di semua institusi penjara, pusat pemulihan akhlak dan juga Sekolah Henry Gurney dalam negeri.

Pelawat diminta membawa kad lawatan dan kad pengenalan bagi memudahkan urusan lawatan, namun mereka tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman untuk penghuni kerana ia boleh dibeli dari kantin penjara atau institusi berkenaan. Menurutnya mereka juga tidak digalakkan memberi wang tunai kepada penghuni melainkan atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya.

“Pelawat dimohon untuk mendapatkan resit rasmi PPT.28 sebagai akuan penerimaan,” menurut kenyataan itu yang disebar kepada media oleh Jabatan Penerangan Sarawak di sini hari ini.

Para pelawat juga terikat kepada peraturan dan Akta Penjara yang membenarkan pegawai penjara menjalankan pemeriksaan fizikal apabila mereka masuk atau keluar dari kawasan penjara.