Keluarga Dusun terima hidayah

Keluarga Dusun terima hidayah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 29 Nov – Syiar Islam terus bersemarak di negara ini apabila seorang lelaki Dusun bersama dua orang anaknya melafazkan dua kalimah syahadah dalam majlis pengislaman yang berlangsung di Balai Purun, Taman Warisan Tasek Merimbun, hari ini.

Awang Lawan bin Singgong telah memilih nama Islamnya sebagai Awang Mukti bin Singong, manakala itu dua anaknya, Awang Ade Ceteria bin Lawan kini dikenali sebagai Awang Izde Arfa Ceteria bin Mukti dan anak perempuannya, Dayang Lilisunaita binti Lawan memilih nama Islamnya sebagai Dayang Nadhratul Lily Damia binti Mukti.

Hadir menyaksikan majlis penuh keberkatan itu selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof dan datin.

Dayang Nadhratul Lily Damia memberitahu, mereka memilih Islam setelah beberapa orang keluarga mereka memilih Islam sebagai pegangan hidup mereka dan pengaruh kehidupan beragama Islam telah menarik minat mereka bagi mendalami dan mempelajari agama suci ini.

Bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis di Balai Purun, Taman Warisan Tasek Merimbun.
Bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis di Balai Purun, Taman Warisan Tasek Merimbun.
Hasrat keluarga Dusun menjadi kenyataan apabila mereka memilih Islam sebagai pegangan mereka.
Hasrat keluarga Dusun menjadi kenyataan apabila mereka memilih Islam sebagai pegangan mereka.

Setelah memeluk agama Islam, beliau melahirkan perasaan amat teruja untuk mempelajari agama Islam dan pada masa ini menanti waktu kursus untuk saudara-saudara baru di Pusat Dakwah Islamiah.

Majlis pengislaman pagi tadi dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan dua kalimah Syahadah saudara-saudara baru berkenaan di hadapan pegawai-pegawai dari Bahagian Dakwah Daerah Tutong, kemudian majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban dan penyampaian cenderahati.

Dari Januari 2015 sehingga kini, Pusat Dakwah Islamiah melaporkan, seramai 123 orang telah memeluk agama Islam bagi Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA