Keluarga lelaki Perancis ditemui maut dalam trak

Keluarga lelaki Perancis ditemui maut dalam trak

MANILA, 28 Jan – Seorang lelaki Perancis, isterinya warga Filipina dan anak lelaki mereka berusia empat tahun ditemui mati di dalam trak pikap di pulau pelancongan popular Filipina, Palawan, menurut polis hari ini.

Kedutaan Perancis di Manila memberitahu AFP, ia sedang berhubungan dengan pihak berkuasa tempatan berhubungan kematian Jean Marc Messina, 54, isteri dan anak lelaki mereka, namun punca kematian belum lagi disahkan.

Mayat Messina, isterinya Jewelyn Venturillo berusia 25 tahun, dan anak lelaki mereka Guiliano, 4, ditemui kelmarin dalam trak pikap di sebatang jalan raya Narra, sebuah bandar kecil Palawan yang memiliki 65,000 orang penduduk, menurut polis Filipina.

“Seorang guru tempatan menelefon anggota polis mengenai pikap itu. Kami menghantar satu pasukan ke kawasan berkenaan dan mereka menemui mayat di dalamnya,” kata jurucakap polis wilayah Palawan, Inspektor Ric Ramos.

Ramos dan polis Narra kedua-duanya memberitahu AFP yang mayat itu telah dihantar ke makmal polis untuk dibedah siasat dan punca kematian masih lagi dalam siasatan.

Ramos mengatakan keluarga berkenaan tinggal di Puerto Princesa, bandar wilayah kira-kira 70km dari timur laut Narra.

Penduduk tempatan memberitahu polis yang trak itu telah diletakkan di kawasan itu selama beberapa hari sebelum penemuan mayat tersebut, tambahnya.

Ramai orang Barat tinggal di Palawan, salah satu tumpuan pelancong di negara itu dan terkenal dengan hidupan liarnya, pantai berpasir putih, tempat menyelam skuba dan tapak arkeologi.

Camille Conde, atase media bagi kedutaan Perancis di Manila, mengatakan pihak berkuasa tempatan memaklumkan konsulnya berhubung kematian itu.

“Kami masih lagi menyiasat apa yang berlaku terhadap keluarga itu,” kata Conde kepada AFP. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA