Keluarga mangsa culik kumpul AS$3 juta bayar tebusan

Keluarga mangsa culik kumpul AS$3 juta bayar tebusan

KUALA LUMPUR, 15 Jun (dpa) – Ahli keluarga empat kelasi Malaysia yang baru-baru ini dibebaskan oleh militan di selatan Filipina telah mengumpulkan RM12 juta untuk membayar wang tebusan, menurut bapa saudara salah seorang tawanan hari ini.

Keempat-empatnya adalah kru bot tunda yang dirampas oleh pemberontak Abu Sayyaf pada 1 April. Mereka dibawa ke kubu kuat pemberontak di Pulau Jolo di selatan Filipina sehingga mereka dibebaskan pada 8 Jun.

Lau Cheng Kiong, bapa saudara bekas tawanan Lau Jung Hien, berkata mereka mengumpulkan sejumlah RM12 juta (AS$3 juta), yang mereka berikan kepada polis pada 24 Mei.

“Kesemua wang itu telah diserahkan kepada mereka (polis). Kami tidak menyimpan sesen pun,” ujarnya kepada sidang media di bandar Sibu di negeri Sarawak timur Malaysia.

Termasuk dalam RM12 juta yang mereka kutip itu, kata Lau, adalah RM1 juta dari hasil kutipan gadai janji dua buah rumah mereka dan RM2 juta sumbangan daripada syarikat perkapalan tempat keempat-empatnya bekerja.

Sumbangan lain datang dari individu-individu dan kumpulan-kumpulan di China, Taiwan, Papua New Guinea dan Pulau Solomon, ujarnya.

Minggu lalu, ketua polis Malaysia, Inspektor Jeneral Khalid Abu Bakar, berkata Malaysia tidak akan membayar wang tebusan bagi membebaskan keempat-empat tawanan itu.

Polis Malaysia tidak memberi komen atas dakwaan Lau.

Kelmarin, pemberontak Abu Sayyaf menghukum mati tebusan Kanada, Robert Hall selepas wang tebusan tidak dibayar pada tempoh yang ditetapkan oleh gerila tersebut.