Keluarga mangsa hilang terima bantuan

Keluarga mangsa hilang terima bantuan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 9 Mac – Bagi membantu meringankan kesusahan dan kesedihan keluarga mangsa yang hilang di kawasan Pembentungan Loji Saluran Najis Mumong yang berlaku bulan lepas, Majlis Perundingan Mukim Seria hari ini telah menghulurkan sumbangan berupa barangan asasi kepada isteri mangsa.

Penyerahan sumbangan yang diadakan di Pejabat Penghulu, Pusat Insani itu disempurnakan oleh Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Linap kepada isteri mangsa, Dayang Cecillia Jessica anak Sitipatlus yang kini tinggal bersama ayah dan ibu mertuanya di Berek Kerajaan Lorong Tiga Seria.

Dua orang anak lelaki mangsa juga menerima sumbangan tersebut yang masing-masing berusia dua dan tiga tahun, disaksikan oleh ibu dan ayah mendiang mangsa.

Haji Jamail menyerahkan sumbangan kepada Dayang Cecillia Jessica.
Haji Jamail menyerahkan sumbangan kepada Dayang Cecillia Jessica.

Mangsa Awang Afendi bin Momin, 23, yang telah dilaporkan hilang dan dipercayai lemas dalam kejadian berlaku pada 18 Februari lalu, sehingga kini masih menjadi misteri setelah usaha mencarinya selama seminggu di lokasi kejadian gagal menemukannya.

Mangsa, seorang pekerja luar pantai, di salah sebuah syarikat tempatan di sini, sepatutnya pergi bekerja setelah bercuti selama dua minggu, bagaimanapun pada petang 18 Februari dia bersama ayahnya telah pergi menjala di kawasan Pembetungan Mumong, dan dikatakan telah terjun apabila jalanya tersangkut pada batu, kemudian hilang tidak kelihatan lagi.