Keluarga mangsa kebakaran terima bantuan

Keluarga mangsa kebakaran terima bantuan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Dalam usaha meringankan bebanan mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Tamoi Ujong baru-baru ini, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah menyerahkan sejumlah $6,600 wang agihan zakat kepada mangsa-mangsa berkenaan.

Penyerahan wang zakat pada majlis yang diadakan di Dewan Multaqa, Tingkat Bawah, Bangunan Baru Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), kelmarin, telah disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Khalid bin Haji Timbol.

Sebanyak lapan keluarga yang terdiri daripada 33 orang penghuni terlibat dalam musibah kebakaran Kampung Tamoi Ujong pada 25 Januari lalu.

Di antara para penerima tersebut ialah Awang Roslan bin Mohamad@Ahmad dan isteri berserta lima orang anaknya yang menerima bantuan sebanyak $1,400 serta bantuan alat persekolahan untuk seorang anaknya yang bersekolah menengah; Awang Suhardi bin Abdul Latif dan isteri berserta tiga orang anaknya pula menerima sebanyak $1,000 serta bantuan alat persekolahan untuk dua orang anak yang bersekolah menengah dan rendah.

Haji Shari ketika menerima wang agihan zakat daripada tetamu kehormat.
Haji Shari ketika menerima wang agihan zakat daripada tetamu kehormat.
Tetamu kehormat ketika mengagihkan wang zakat kepada Awang Roslan.
Tetamu kehormat ketika mengagihkan wang zakat kepada Awang Roslan.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Awang Abdul Hanif bin Suhardi dan isteri menerima bantuan sebanyak $400; Hajah Limah binti Duraman dan anaknya menerima $400, Haji Shari bin Haji Lakim dan isteri berserta empat orang anaknya menerima $1,200; Awang Abdul Majid bin Haji Shari dan isterinya menerima $400; Hajah Kayah binti Haji Osman menerima $200, manakala itu, Dayang Harini binti Haji Haris dan tujuh orang anaknya menerima sebanyak $1,600 serta bantuan alat persekolahan untuk tiga orang anaknya yang bersekolah menengah.

Kesemua wang tunai dan perbelanjaan peralatan persekolahan tersebut merupakan peruntukan daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin.

Salah seorang penerima, Haji Shari ketika ditemui oleh Media Permata menyatakan kesyukuran atas keprihatinan pihak-pihak yang telah memberikan bantuan kepada para keluarga yang terlibat dalam musibah kebakaran tersebut.

Ditanya mengenai perancangan bagi masa depan, beliau menjelaskan, “Mengikut perancangan saya dan keluarga, saya telah memohon kepada pihak kerajaan melalui KHEU. Saya juga telah berbincang dengan Pehin Menteri bahawa saya pohonkan, kalau dapat, rumah akan dibangunkan semula di tempat asalnya, tapi pihak kerajaan akan mempertimbangkan untuk dimesyuaratkan pada tujuh jabatan.”

Seorang lagi mangsa, Awang Roslan yang sempat ditemui turut melahirkan perasaan bersyukur dengan apa yang diberikan oleh pihak kerajaan bagi membantu mereka yang ditimpa musibah berkenaan.

Beliau yang pada masa ini menumpang tinggal di rumah mertuanya di Kampung Masin bersama keluarganya, turut menjelaskan, “Dengan keadaan kami masa ini, tidak berpakaian kerana pakaian di rumah tidak lagi dapat diselamatkan. Apa yang hanya dapat kami harapkan ialah balasan daripada Allah Ta’ala atas jasa baik yang telah diberikan oleh kerajaan kepada kami.”

Pihak MUIB juga berharap semoga dengan adanya agihan wang zakat tersebut, ia akan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa dengan harapan supaya mereka lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dalam menjaga keselamatan ahli keluarga daripada ditimpa musibah sebegini.

ARTIKEL YANG SAMA