Keluarga penyayang pemangkin kebahagiaan

Ceramah perdana ini disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr.Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan kali ke-6, Tahun 2017 yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pada 7 Mei 2017 Masihi bersamaan dengan 10 Syaaban, 1438 Hijrah.

SEBAGAIMANA kita sama-sama maklum, bahawa tema Hari Keluarga Kebangsaan pada tahun ini berbunyi: “Keluarga Penyayang, Negara Gemilang.”

Saya mengambil sikap untuk memilih tema ini juga dengan sedikit pindaan, berbunyi: “Keluarga Penyayang Pemangkin Kebahagiaan.” Saya meniadakan tambahan “ku” tinggal “keluarga” sahaja, untuk memberi makna lebih umum, bahawa apabila disebut saja keluarga, adalah ia bererti keluarga siapa saja, jika ia penyayang, pasti, keluarga seperti itu mampu untuk membuahkan kebahagiaan.

Sementara kebahagiaan pula, sifatnya juga luas, tidak terbatas kepada bahagia di dunia sahaja, tetapi meliputi bahagia di akhirat juga.

Semua orang tahu definisi keluarga, dan semua orang mahu untuk memiliki keluarga penyayang, mengapa? Ya, mengapa kita mahu kepada keluarga penyayang? Kerana keluarga penyayang itu adalah jaminan bagi kebahagiaan. Keluarga penyayang pasti bahagia. Tidak kira keluarga itu kayakah atau pun miskin, jika penyayang, pasti bahagia.

Ini terimbas dari isyarat Allah Subhanahu Wa Ta’ala sendiri yang berfirman di dalam surah ar-Rum ayat 21, tafsirnya:

“Allah telah menjadikan untuk kamu isteri-isteri daripada kalangan kamu sendiri, supaya kamu hidup berbahagia…”

Mufti Kerajaan ketika menyampaikan ceramah perdana yang bertajuk: Keluarga Penyayang Pemangkin Kebahagiaan. – Gambar Syahmi Hassan
Mufti Kerajaan ketika menyampaikan ceramah perdana yang bertajuk: Keluarga Penyayang Pemangkin Kebahagiaan. – Gambar Syahmi Hassan

Dengan apa kebahagiaan itu boleh didapat? Allah seterusnya menyambung lagi firmanNya tadi, tafsirnya:

“(Sebagai syarat untuk tercapainya kebahagiaan itu) Allah jadikan pula (untuk suami isteri itu) perasaan kasih sayang dan belas kasihan…”

Ah ini, rukun bahagia itu. Perasaan kasih sayang dan belas kasihan adalah rukun bahagia. Tanpa rukun ini, jangan mimpi untuk bahagia.

Bukan rupa paras yang cantik jadi rukun. Bukan harta yang banyak jadi rukun, bukan! Bukan!

Boleh perhati, berapa ramai orang yang lawa dan cantik, tetapi rumahtangga tidak kekal lama. Begitu juga berapa ramai orang kaya, tetapi rumahtangga berantakan.

Sebaliknya, ada keluarga, rupa paras sederhana sahaja dan miskin pula, tetapi rumahtangga kukuh, layak dipanggil keluarga sakinah, keluarga harmoni, yang tidak ada ribut dan ombak besar melandanya, walaupun makan minum mereka hanya ala kadar atau kadang-kadang cuma makan nasi berlaukkan tahai sahaja, tetapi dalaman mereka berkilau-kilauan berhias dengan kasih sayang.

Ah ini, harga kasih sayang itu, saudara! Ia adalah asas, rukun dan tonggak keluarga sakinah atau keluarga bahagia. Malah, malah, kasih sayang juga sangat dipentingkan untuk mengurus negara, untuk mentadbir kerajaan, sehingga ada ungkapan:

“Sayangkan negeri itu adalah daripada iman”.

Apabila disebut “negara”, tidak boleh tidak pasti berbangkit ialah rakyat. Ya, rakyatlah yang dituntut supaya menyayangi negara. Jika rakyat itu orang Islam, maka awas! Tanpa ada kasih sayang terhadap negara, iman mereka dianggap bermasalah.

Dan kedua, apabila disebut pula “rakyat”, maka dari kalangan mereka, akan adalah individu-individu yang bergelar pemimpin: pemimpin rakyat. Mereka ini juga, lebih-lebih lagi dikehendaki supaya memiliki sifat penyayang.

Kalau tidak, mereka akan dianggap sebagai tidak layak untuk jadi pemimpin, mengapa? Apa alasannya? Apa rasionalnya?

Untuk mengetahui semua itu, mari kita camkan riwayat ini:

Seorang menteri dalam kerajaan, berkunjung ke rumah Amîrul Mu’minîn, Sayyidina ‘Umar. Menteri ini, sebaik-baik sahaja masuk ke dalam rumah, dia naik heran dan tercenggang-cenggang apabila menyaksikan Amîrul Mu’minîn ‘Umar sedang bermain-main dengan anak-anaknya…Ya, Amîrul Mu’minîn, raja sekalian orang beriman sedang bermain-main dengan anak-anaknya.

Apa ini? Satu kejadian yang sangat-sangat mengejutkan menteri, sehingga menjadikannya tercenggang-cenggang.

Sayyidina ‘Umar, apabila menyedari si menteri sedang tercenggang-cenggang itu, beliau pun bertanya:

“Bagaimana pula keadaanmu dengan keluargamu?”. Ya, engkau melihat aku bermain-main dengan anak-anak, bagaimana pula keadaanmu dengan mereka?

Menteri menjawab berterus terang:

“Apabila saya masuk rumah, orang yang bercakap – diam. Ada juga – yang lari bersembunyi. (Pendeknya), semua orang tunduk takut – tidak berani angkat kepala.”

Mendengar ini, Sayyidina ‘Umar dengan spontan berkata: “Wahai menteri! Berhentilah engkau dari menjalankan perkerjaan kami. Yakni engkau dipecat dari jawatanmu”. Menteri bertanya tidak puas hati: “Mengapa begitu, wahai Amîrul Mu’minîn? Mengapa tiba-tiba saya dipecat?”.

Menjawab Sayyidina ‘Umar memberi alasan:

“Apakala engkau tidak dapat menyayangi dan mengasihani ahli keluargamu sendiri, pasti, tidak boleh tidak, engkau juga, tidak akan dapat menyayangi dan mengasihani umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Kerana itu, eloklah engkau berhenti saja dari menjalankan pekerjaan kami selaku menteri. Manakala tidak berbangkit bagimu untuk menyayangi dan mengasihani keluargamu sendiri, bagaimana mungkin untuk engkau dapat menyayangi dan mengasihani umat Nabi Muhammad?” (Asy-Syeikh Abdul Hamid Kisyk, Al-Khutab Al-Minbariyyah).

Demikian rasional ‘Umar untuk memecat menteri ini. ‘Umar tidak dapat membiarkan seorang menteri yang tidak penyayang dan tidak pengasihan untuk terus menangani urusan negara dan rakyat, kerana bagi ‘Umar, orang macam ini tidak layak untuk jadi pemimpin.

Kita sudah sedikit jauh melangkah kepada negara. Mari kita balik lagi kepada keluarga. Ya, keluarga adalah sangat penting untuk dibina.

Apabila Allah menjadikan Adam, dijadikanNya juga Hawa. Dan kedua-dua hamba ini, perlu disatukan.

Lalu Allah pun mengakadnikahkan mereka untuk menjadi suami isteri. Dan setelah itu, diberinya pula tempat kediaman, firmanNya di dalam surah al-Baqarah ayat 35, tafsirnya: “Wahai Adam, diamlah/duduklah engkau bersama-sama isterimu di dalam syurga.”

Syurga selaku ‘kediaman’.

Inilah keluarga manusia pertama yang mula-mula sekali dibina. Dibina untuk apa? Dibina untuk apa? Untuk menikmati kebahagiaan. Dan lambang kebahagiaan itu adalah ‘syurga’ sebagaimana terungkap dalam ayat 35 Surah al-Baqarah itu.

Makanya, kita yang datang kemudian ini, mestilah berazam untuk membina keluarga bahagia. Bukan untuk main-main, tetapi untuk memenuhi sunnatullah: mengecap kebahagiaan melalui rumah tangga.

Tetapi soalnya bagaimana cara, bagaimana cara untuk menjelmakan keluarga bahagia itu, bagaimana? Ya Allah!

Bimbinglah kami bagaimana caranya? Allah Subhanahu wa Ta‘ala Yang Maha Pengasih, Dia tidak membiarkan kita melanggar tembok, seperti si buta kehilangan tongkat, tidak! Tetapi Allah, melalui lidah nabiNya, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah mengunjuk kepada kita satu garis panduan ketuhanan, bukan garis panduan yang digubal oleh manusia, tetapi garis panduan ketuhanan, berbunyi:

“Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara: Pertama kerana hartanya, kedua kerana keturunannya, ketiga kerana kecantikannya dan keempat kerana agamanya.

Maka pilihlah yang beragama nescaya engkau berbahagia.” (Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Hajar Al-‘Asqalani, Fath Al-Bari Bi Syarh Shahih Al-Bukhari, Kitab An-Nikah).

Ini panduan itu. Orang lelaki disuruh lihat 4 perkara ini. Kalau si gadis itu orang berharta, baguslah! Berketurunan baik-baik pula, tambah lagi bagus. Kemudian dicampur lagi dengan cantik, wah! Memang sangat bagus. Tetapi ingat, jangan cepat-cepat tutup buku. Yang disebut ini baru tiga.

Ada satu lagi yang Nabi sebut paling kemudian sekali iaitu ‘agama’. Ertinya, yang mesti dilihat itu, tidak boleh kurang dari 4 ini: berharta, berketurunan, cantik dan beragama. Kalau si gadis memiliki keempat-empat ciri ini, adalah ia memang hebat, hebat sekali!

Tetapi kalau hanya satu sahaja, berharta misalnya, sementara yang lain-lain tidak ada, maka belumlah dianggap memadai untuk jadi pilihan. Atau ada dua, seperti berharta dan berketurunan, juga masih dianggap tidak memadai. Atau memiliki tiga ciri sekaligus: berharta, berketurunan dan cantik, menurut panduan, juga masih dianggap tidak memadai.

Tetapi kalau si gadis itu beragama, kuat agamanya, walau pun tanpa harta, tanpa keturunan dan tanpa cantik, ah ini kata Nabi, pilih! Pilih ini, jangan ragu-ragu pilih! Nescaya engkau berbahagia.

Ya, Allah dan rasulNya suruh pilih ini dan bahkan memberi jaminan bahawa barangsiapa yang memilih ini, orang itu pasti berbahagia.

Kerana itulah, Sayyidina ‘Umar bin Al-Khattab Radhiallahu ‘anhu, sampai memilih anak gadis kepada seorang penjual susu yang miskin untuk dijodohkan dengan anak lelakinya. Kerana apa? Kerana si gadis, anak penjual susu ini dilihat oleh ‘Umar sebagai benar-benar beragama, kuat agamanya, hebat agamanya, walaupun dia itu miskin dan comot.

Tahukah kita, generasi yang lahir dari pasangan ini bukan calang-calang generasi, tetapi generasi yang hebat, generasi yang telah melakar sejarah luar biasa, sejarah kekhalifahan gilang gemilang, yang bertolak dari mata rantai yang diawali oleh pasangan Ibnu ‘Umar dan anak gadis penjual susu ini.

Purih keturunan bagaimana-kah yang telah terhasil dari pasangan ini? Ya, antaranya adalah purih besar, purih hebat, seorang khalifah yang sangat terkenal alim, adil dan saleh, iaitulah Khalifah ‘Umar bin Abdul Aziz.

Nah, nampak kita, kesan dan pengaruh dari isteri yang beragama dalam pembentukan keluarga? Ya, pengaruh adalah penting. Pengaruh isteri dalam rumahtangga penting.

Pengaruh makhluk hawa ini penting. Makhluk hawa, fizikal saja lemah, tetapi pengaruhnya cukup kuat. Bukankah di sana ada ungkapan: “Tangan yang menghayun buaian itu mampu untuk menggoncangkan dunia.” Di sini bukanlah betul-betul tangan yang menggoncang itu, tetapi pengaruh, ya pengaruh makhluk inilah yang menggoncang itu. Dan awas! Pengaruh ini jika sihat, maka hasilnya juga sihat, dan jika tidak, maka tidaklah!

Di zaman Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam, apabila seorang suami, pada pagi-pagi hari, hendak keluar rumah untuk menjalankan tugas harian, maka isterinya akan berkata kepadanya, berpesan: “Wahai abang, bertaqwalah kepada Allah dalam hidup kita ini dan jangan makan haram. Sesungguhya kita masih mampu untuk bersabar apabila kita lapar di dunia, tetapi kita tidak mampu untuk bersabar dengan seksa api neraka pada hari kiamat kelak.”

Allahu Akbar! Satu pesanan yang sungguh-sungguh meng-getarkan.

Siapakah di antara kaum hawa dalam zaman moden ini yang terlintas untuk berpesan-pesan kepada suami-suami mereka demikian itu? Ya, siapa yang teringat ini? Jelitawan mana, rupawan mana, hartawan mana yang teringat untuk berpesan kepada para suami, seorang pegawai kerajaan atau pekerja swasta sebelum suami-suami itu meninggalkan rumah untuk bertugas, si isteri berpesan: “Wahai abang, takutlah kepada Allah dalam hidup ini dan jangan makan haram.” Siapa? Ya, siapa yang segera teringat untuk mengungkapkan pesanan seperti ini?

Jangan kita anggap ungkapan ini hanya sesuai dan perlu di zaman Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam sahaja, tidak! Malah di zaman ini juga, adalah lebih-lebih lagi ia sesuai dan perlu, mengapa? Kalau di zaman Nabi, orang-orang Islam memang sudah tentu lebih saleh, lebih lurus dan lebih bersih, berbanding di zaman ini, terlalu banyak bukti menunjukkan, bahawa keadaan adalah sebaliknya.

Kerana itu, ungkapan: “Wahai abang, bertaqwalah kepada Allah dan jangan makan haram” adalah lebih-lebih lagi mustahaknya untuk zaman ini, berbanding zaman Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Ungkapan ini kalau datangnya dari isteri, insya’ Allah, ia adalah mampu untuk menyelamatkan para suami daripada musibah haram.

Haram itu di sini bukan terhad kepada makan daging yang tidak bersembelih sahaja, tetapi banyak lagi jenis haram itu, seperti makan dari perolehan tidak halal yang dilaknat oleh Allah, umpama perolehan dari mencuri, perolehan dari menipu, perolehan dari mengambil rasuah dan seumpamanya.

Ini semua sudah pun berlaku amat lumrah di zaman yang bernama zaman sains dan teknologi ini.

Jadi, kalau semua para isteri tampil menyumbang pesanan atau nasihat: “bertaqwa kepada Allah dan jangan makan haram” kepada para suami masing-masing, maka tidak mustahil kesannya adalah hebat, bukan sahaja kepada rumahtangga, malahan juga kepada negara.

Kita pun faham, para isteri bukan tidak berpesan – berpesan! Tetapi yang dipesan itu banyak yang menyakitkan kepala, bukan membersihkan jiwa: “Bang, balik karang, jangan lupa telefon bimbit baru untuk saya. Dan jangan lupa simbatkan juga nasi beriyani.”

Ah ini pesanan adalah pesanan yang tidak menolong apa-apa, melainkan semata-mata memberatkan kepala sahaja.

Pasangan suami isteri perlu menjaga hubungan masing-masing, jangan sampai terganggu. Masing-masing jangan suka cari pasal yang boleh mencede-rakan hubungan mereka. Ingat, syaitan bukan suka rumahtangga anak Adam bahagia.

Lihat, apa telah dibuat oleh iblis syaitan terhadap rumahtangga Adam ‘Alaihissalam? Sehingga hamba itu sampai terhumban daripada syurga bersama isteri dan terpisah sekian lama.

Sebab itu, agama itu perlu, kesedaran beragama adalah perlu. Pesanan bertaqwa kepada Allah dan jangan makan haram adalah ia agama, seratus peratus agama.

Selama ia perkara agama, syaitan tetap benci. Namun syaitan tidak boleh berbuat apa-apa, kalau kita terus teguh dengan agama.

Misalnya dalam perkara makan minum sahaja, jika kita makan minum dengan “Bismillah”, maka berkatalah syaitan kepada kumpulannya: “Di sini tidak ada makanan untuk kita.”

Lalu larilah mereka, dan kita, keluarga yang beramal dengan “Bismillah” itu, selamatlah jadinya.

Kerana itu, sayugia rumahtangga, janganlah membelakangi agama. Besar kecil perkara, agama adalah perlu.

Kalau suami isteri tiba-tiba bertengkar, maka cepat-cepatlah mengucap “Astaghfirullah”. Insya’ Allah, syaitan akan lari, tidak tahan-tahan untuk mengapi-apikan lagi supaya suami isteri itu terus bertengkar, dan syaitan bertepuk tangan. Sedari ini dengan kesedaran agama, supaya rumahtangga tidak runtuh.

Jangan pandang ringan rumahtangga runtuh. Di seluruh dunia, perkara ini jadi masalah. Di Brunei pada tahun 2015, perceraian berjumlah 524. (Brunei Darussalam Statistical Yearbook 2015, h. 28).

Pada tahun 2009, jumlah itu pernah lebih besar lagi 566. (Brunei Darussalam Statistical Yearbook 2011, h. 27).

Di Malaysia, kiraan dari tahun 2014 sehingga Julai 2016 perceraian di kalangan pasangan Islam berjumlah 171,253. (http://www.bharian.com.my/node/212681). Sementara di Indonesia, perangkaan bagi tahun 2014 sahaja, perceraian berjumlah 344,237 (Statistical Yearbook of Indonesia 2015, h. 171).

Menurut kajian, punca utama perceraian adalah bermula dari perselisihan di antara suami dan isteri atas pelbagai sebab. Apabila api perselisihan terus marak, maka biasanya rumahtangga tidak dapat diselamatkan lagi. Runtuh dan ranap.

Betul, perselisihan perkara biasa, seperti kata pepatah: “Sedangkan lidah lagi tergigit.”

Tetapi cara mengatasinya perlu. Kalau perselisihan itu sifatnya api, maka untuk mengatasi api apa? Apa yang boleh mengatasi api? Kata kita air.

Nah, di sini, air itu ialah agama. Kata orang lain pula, bukan! Tetapi mengatasinya memerlukan khidmat kepakaran.

Di negara maju memang, orang murung, orang stress, orang susah, orang bergaduh, mereka pergi kepada pakar ilmu jiwa untuk menerima rawatan dengan menggunakan kaedah-kaedah dapatan daripada kepala-kepala pakar mereka, seperti nama-nama besar Sigmund Freud, Alfred Adler, Henry Murray dan lain-lain.

Hebatnya ucapan As salam

Tetapi kita orang-orang Islam, kita ada kaedah sendiri, yang lebih simple, namun mampu mengatasi dan mengalahkan kaedah-kaedah Sigmund Freud, Henry Murray dan lain-lain. Kaedah itu mudah saja, tetapi cukup untuk mengusai dalaman kita, dari berserabut kepada tersusun cantik dan dari hitam berdaki kepada putih bersih.

Apakah kaedah itu? Bersabda Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam, maksudnya:

“Apabila engkau memasuki rumahmu, maka ucapkanlah salam ke atas keluargamu”. Katakan: “Assalamu Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatah”. Ucapkan ini walaupun engkau tengah marah kepada isterimu atau isterimu sedang marah kepadamu, namun mulut jangan tutup tetapi buka dan ucapkan: “Assalamu Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatah”.

Ini salam, saudara! Adalah lampu apabila ia diucapkan, pada ketika itu juga ia akan menyuluh hati saudara, dan sekali gus menyuluh hati isteri saudara, dan dua-dua hati yang sedang kehilangan arah kerana marah ini akan mula menerima cahaya daripada suluh yang hebat ini, suluh ketuhanan: Assalamu Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatah.

Sila rasa-rasakan, kalau orang memberi salam kepada kita, insya’ Allah, walaupun dia itu seteru kita, pernah berkelahi dengan kita, tetapi dia tiba-tiba memberi salam kepada kita:

“Assalamu Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatah”, apa rasa kita? Apa penerimaan kita? Apa response kita?

Tentu saja adalah baik, ya baik. Hati yang sedang gelap akan jadi terang. Jiwa yang tengah luka akan terubat luka. Perasaan benci akan bertukar sayang.

Nah, tidak hebat bagaimanakah salam itu di sini? Jadi, wahai para suami, wahai para isteri, selamatkanlah rumahtangga tuan-tuan dan puan-puan dengan salam.

Jika bergaduh, jika berselisih, tidak perlulah cari Sigmund Freud dan Henry Murray, cukup bagi suami, asak isteri tuan dengan salam, dan bagi isteri juga, asak suami puan dengan salam, insya’ Allah, rumahtangga selamat hingga ke akhir hayat.

Rumahtangga yang berpakaian dengan agama, yang berpakaian dengan salam, insya’ Allah, tidak akan jadi seperti rumahtangga sebuah keluarga yang baru-baru ini tersiar dalam media, di mana selama 20 tahun lamanya, suami dan isteri dalam keluarga ini, tidak pernah bercakap walau sepatah, sekalipun duduk sebumbung. (Media Permata, Rabu, 11 Januari 2017).

Apa ini? Mana Sigmund Freud dan Henry Murray tidak dapat mendamaikan mereka? Kasihan dan malang! Oleh kerana mereka ini bukan dari keluarga muslim, maka kita tidaklah dapat menyebut pendekatan salam kepada mereka.