Keluarga susah tidak dilupa

Keluarga susah tidak dilupa

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

TUTONG, 17 Jun – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini telah mengadakan lawatan kerja yang merupakan projek amal menjelang bulan Ramadan dengan mengendalikan pengagihan sumbangan berbentuk barang keperluan asasi dan makanan kepada 18 buah keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan di beberapa buah kampung di Daerah Tutong.

Rombongan diketuai Menteri Pembangunan, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut serta dalam rombongan itu ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail serta ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan.

Kesemua keluarga tersebut telah dikenal pasti hasil daripada kaji selidik yang telah dijalankan sebelum ini oleh Yayasan dan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, Unit Dakwah Daerah Tutong dan para sukarelawan Yayasan.

Menurut Yang Berhormat Pehin, setiap kali menjelang Ramadan pihak Yayasan akan sentiasa berusaha untuk membantu mana-mana pihak keluarga yang memerlukan bantuan dari segi keluarga yang berkeperluan khas, keluarga yang mempunyai masalah dari segi kewangan, masalah kemudahan tempat tinggal dan sebagainya.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan kepada Awang Rashid di kediamannya di Kampung Kuala Ungar, Tutong kelmarin.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan kepada Awang Rashid di kediamannya di Kampung Kuala Ungar, Tutong kelmarin.

“Pihak kami akan mencuba untuk membantu sedaya upaya dan ini adalah sebagai amal jariah melalui Yayasan,” katanya kepada media semasa ditemui pada majlis pengagihan sumbangan hari ini.

Beliau berharap bantuan-bantuan yang diberikan itu akan digunakan dengan baik dan pihak Yayasan akan sentiasa memantau mana-mana keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan secara berterusan.

Projek amal menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan bertujuan membantu dalam menyediakan keperluan keluarga menjelang bulan Ramadan agar mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan selesa dan sempurna.

Awang Rashid bin Abdullah Duri, 42, salah sebuah keluarga yang menerima sumbangan generator dan keperluan asasi semasa ditemui Media Permata gembira dan berterima kasih atas pemedulian pihak Yayasan.

Beliau dan isteri bersama tiga anak mereka tinggal di sebuah rumah usang di Kampung Kuala Ungar.

“Kami telah menetap di rumah ini sejak tahun 2005 dan masalah yang kami hadapi ialah ketiadaan bekalan elektrik sejak tahun 2010 lagi.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bercakap kepada media semasa mengetuai rombongan Yayasan menghulurkan bantuan kepada keluarga susah di Tutong.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bercakap kepada media semasa mengetuai rombongan Yayasan menghulurkan bantuan kepada keluarga susah di Tutong.

“Sebelum ini, saya pernah memiliki generator sendiri dan membelanjakan hampir $50 setiap bulan untuk membeli minyak. Bagaimanapun setahun selepas itu, generator tersebut telah rosak,” katanya.

Beliau selama ini menyara hidup keluarga dengan hasil tanaman padi serta wang pencen. Hasil tanaman padi anggaran purata sekitar $100 sebulan.

Beliau berharap agar di masa akan datang keluarga beliau diberikan peluang dan bantuan untuk mendirikan rumah yang lebih stabil di tanah beliau ini untuk menghindari daripada masalah banjir.

Manakala, Dayang Zaharah binti Abdullah Pangan, 47, yang tinggal di Kampung Benutan juga turut melahirkan rasa syukur dengan sumbangan keperluan asasi yang diterima hari ini kerana ia adalah kali pertama bagi beliau menerima sumbangan daripada Yayasan.

Dayang Zaharah, seorang balu, menanggung perbelanjaan untuk lima orang yang terdiri daripada empat orang anak dan seorang cucu menggunakan hasil duit pencen arwah suaminya setiap bulan.

“Alhamdulillah, setiap bulan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah memberikan perbelanjaan sekolah bagi menampung keperluan barang-barangan sekolah anak-anak saya,” jelas beliau.

Projek seumpama ini akan dilaratkan ke daerah-daerah lain di seluruh negara yang akan dilaksanakan setiap bulan Ramadan nanti.