Keluarga tidak restu, wanita mengandung dan suami ditembak mati

Keluarga tidak restu, wanita mengandung dan suami ditembak mati

ISLAMABAD, 19 Jun (AFP) – Seorang wanita mengandung dan suaminya telah diculik dan ditembak mati oleh kaum kerabatnya yang tidak bersetuju dengan perkahwinan mereka, kata polis hari ini, dalam siri laporan terbaru ‘pembunuhan maruah’ yang semakin meningkat di Pakistan.

Pasangan itu dibunuh berhampiran kampung Thikriwala di wilayah Punjab Rabu lepas, kata pegawai polis kanan tempatan, Malik Waris memberitahu AFP. Mayat-mayat mereka ditemui selepas dihanyutkan ke terusan.

Waris berkata Aqsa Bibi, berusia 22 tahun dan Shakeel Ahmed, 26, kedua-duanya bekerja di sebuah farmasi tempatan dan berkahwin di mahkamah empat tahun sebelumnya.

Aqsa sedang mengandung, walaupun ia masih tidak jelas sudah berapa bulan dia mengandung.

Perkahwinan mereka telah menyebabkan keluarga Aqsa berang, yang tinggal di kampung berhampiran.

Perkara itu menjadi serius apabila salah seorang abangnya yang dinamakan sebagai Muhammad Moavia, yang baru-baru ini pulang dari negara luar telah mengumpulkan ahli saudara untuk menculik pasangan itu.

Mereka kemudian menembak kedua-duanya di kepala dan membuang mayat mereka di terusan.

Tertuduh masih lagi diburu, kata Waris, menambah bahawa serbuan telah dijalankan. Muhammad Azhar, pegawai polis lain mengesahkan insiden itu.

Ia adalah siri terbaru dalam rangkaian pembunuhan ‘maruah’ yang dikatakan telah meragut sekitar 1,000 jiwa setiap tahun di Pakistan.