Keluarkan 107 saman kesalahan lalu lintas

Keluarkan 107 saman kesalahan lalu lintas

KOTA KINABALU, 28 Jun (Bernama) – Polis Kota Kinabalu mengeluarkan 107 saman pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Samseng Jalanan dan mabuk di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu awal pagi tadi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata dalam operasi bermula 11.30 malam dan berakhir 4 pagi tadi itu, sebanyak 40 kenderaan di periksa secara teliti termasuk 25 buah motosikal.

“Polis turut menyita empat motosikal dan sebuah kereta atas pelbagai kesalahan jalan raya di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dua individu turut ditahan untuk siasatan lanjut selepas didapati gagal dalam ujian alkohol, katanya.

Chandra berkata dalam operasi lima jam melibatkan seorang pegawai dan 16 anggota itu, sebanyak 42 individu diperiksa, termasuk dua wanita.