Keluasan, bentuk rupa bumi Sarawak jadikan helikopter terus relevan

Keluasan, bentuk rupa bumi Sarawak jadikan helikopter terus relevan

KUCHING, 13 Jun (Bernama) – Menteri dan pegawai kerajaan masih perlu menggunakan helikopter untuk ke destinasi tugasan masing-masing dengan cepat di Sarawak berikutan keluasan wilayah dan bentuk rupa bumi negeri ini yang mencabar.

Berikutan itu, Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata Sarawak perlu menggunakan perkhidmatan pesawat sewa itu untuk meningkatkan lagi kadar kesalinghubungan di negeri ini.

Beliau memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini bahawa perjanjian dan bayaran sewa perkhidmatan itu diuruskan Jabatan Ketua Menteri di bawah kontrak dan pengurusan berpusat.

“Bagaimanapun, perkhidmatan ini digunakan semua anggota pentadbiran dan jabatan kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan Chong Cheng Jen (DAP-Kota Sentosa) tentang aspek keselamatan perjalanan dengan helikopter dan kos terbabit.

Mengenai aspek keselamatan, beliau berkata Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menetapkan syarat penerbangan yang sangat ketat.

“Semua pihak termasuk juruterbang helikopter mematuhinya dengan seboleh mungkin tetapi nahas tetap berlaku dan kita tidak berupaya untuk berbuat apa-apa,” katanya.

Pada sidang medianya kemudian, Wong berkata perbelanjaan tambahan sebanyak RM28.6 juta yang ditanggung Jabatan Ketua Menteri pada tahun lepas bukanlah untuk membayar kos menyewa helikopter semata-mata.

“Ia bagi memenuhi kos pentadbiran umum pejabat itu seperti caj kemudahan, hospitaliti serta perbelanjaan keraian dan perubatan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah RM5.5 juta yang dibelanjakan kerajaan negeri Sarawak bagi menyambut perayaan besar tahun lepas, tidak termasuk kos menganjurkan perhimpunan Sejiwa Senada seperti yang didakwa Chong.

Justeru itu, beliau menyangkal dakwaan Chong bahawa perhimpunan itu hanya bertujuan membantu kerajaan Barisan Nasional memenangi pilihan raya negeri baru-baru ini.