Keluhan peniaga pasar malam

Keluhan peniaga pasar malam

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Para peniaga di Tamu Gadong mengeluh kerana perniagaan kurang mendapat sambutan atas beberapa sebab termasuklah kemudahan dan keselesaan kepada peniaga dan juga pelanggan.

Menurut peniaga yang sudah lama berniaga di sana, tapak Pasar Malam Gadong baru di mana mereka ditempatkan berniaga bermula awal Jun lalu, ternyata mempunyai banyak kekurangan yang bukan sahaja tidak selesa kepada peniaga dari segi tapaknya, kemudahan asas yang disediakan dan bangunan yang terlalu tinggi sehingga cahaya matahari dapat menembusi bangunan, sekali gus merosakkan barangan yang dijual.

Salah seorang peniaga, Haji Salleh yang mewakili peniaga-peniaga di Pasar Malam Gadong, berkata mereka bukan sahaja tidak memperoleh keuntungan, malahan menanggung kerugian kerana tempat yang bagi mereka tidak sesuai.

Rata-rata peniaga yang ditemui Media Permata menjelaskan mereka hanya memperoleh pendapatan cukup-cukup makan sahaja, malah ada yang rugi serta ada yang memperoleh keuntungan hanya 20-50 peratus berbanding sebelum ini.

“Jika di tapak lama, kami memperoleh $1, namun di sini, kami hanya memperoleh 20 sen sahaja, cubalah bayangkan betapa kerugian yang kami tanggung,” jelas salah seorang peniaga.

Haji Salleh menunjukkan kawasan lapang yang sebelum ini dipenuhi oleh peniaga-peniaga lama Pasar Malam Gadong.
Haji Salleh menunjukkan kawasan lapang yang sebelum ini dipenuhi oleh peniaga-peniaga lama Pasar Malam Gadong.

Menurut Haji Salleh lagi, ada peniaga yang sudah berpuluh-puluh tahun berniaga di sana, kini telah berhenti kerana tidak tahan menanggung kerugian.

“Cuba lihat, petak-petak jualan di sini banyak yang kosong. Sebenarnya sebelum ini, pada hari pertama pindah ia memang penuh, namun setelah kerugian besar, akhirnya mereka tidak lagi berniaga di sini,” kata Haji Salleh lagi sambil menunjukkan petak kosong.

Pembaziran juga banyak berlaku semenjak berpindah ke tapak baru itu.

Menurut salah seorang lagi peniaga, Dayang Zaitun binti Haji Kamis, orang ramai semakin kurang ke pasar malam ini semenjak berpindah ke tapak baru. Jika sudah berkurangan, perniagaan pun kurang maju, oleh itu pembaziran berlaku.

“Sayur-sayuran, makanan, minuman jika disedekahkan pada akhir malam pun, tidak habis juga.

“Mahu tidak mahu, kami terpaksa membuangnya begitu sahaja.”

Menurutnya lagi, pasar malam itulah ‘periuk belanga’ mereka, jika berhenti berniaga di sana, di mana lagi mereka akan berniaga dan jika diteruskan, hanya menanggung kerugian.

Haji Salleh turut menekankan mereka seolah-olah menjadi ‘mangsa’ apabila tempat itu sepatutnya menjadi tempat peniaga Kianggeh yang tidak jadi dipindahkan, maka mereka pula terpaksa berpindah ke sana.

Dari segi tempatnya, bangunan yang terlalu tinggi membuatkan cahaya matahari berlebihan masuk membuatkan sayur-sayuran cepat rosak.

“Bukan itu sahaja, lantai juga tidak menggunakan jubin, hanya disimen yang menyebabkan habuk-habuk berterbangan apabila disapu dan hinggap ke makanan yang dijual, sehingga boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Haji Abidin yang sudah berniaga di sana selama 13 tahun, mengatakan mereka sudah pun mengutarakan masalah berkenaan kepada pihak-pihak relevan, namun sehingga kini belum ada respons.

“Di tapak baru ini, banyak kekurangan kemudahan, tiada surau dan tiada tandas,” katanya.

Manakala tempat letak kereta, meskipun banyak, namun agak jauh dari tempat perniagaan.

Mereka yang dapat tempat letak kereta dekat memanglah untung, namun bagi pelanggan yang mendapat tempat letak kereta jauh, mungkin timbul rasa sukar untuk berjalan jauh ke pasar malam sekali gus merugikan peniaga, kata Haji Salleh lagi.

ARTIKEL YANG SAMA