Keluhan peniaga Tamu Kianggeh, isu pemindahan

Keluhan peniaga Tamu Kianggeh, isu pemindahan

Oleh Syahmi Hassan & Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Dis – Pengesahan mengenai pemindahan para peniaga Tamu Kianggeh di ibu negara ke Tamu Baru Gadong telah mengejutkan ramai peniaga di sana malah rata-rata daripada mereka menyuarakan perasaan tidak bersetuju dengan pemindahan itu.

Kelmarin, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong apabila ditemu bual media telah mengesahkan bahawa pemindahan para peniaga berkenaan akan dilaksanakan pada hujung bulan Januari atau awal bulan Februari tahun depan.

Dalam tinjauan wartawan Media Permata ke Tamu Kianggeh pagi tadi, isu berkenaan telah menjadi perbualan hangat dalam kalangan mereka sehinggakan, peniaga di sana memanggil-manggil wartawan untuk menyuarakan kenyataan apabila mengetahui mereka dari media.

Rata-rata peniaga berkenaan tidak bersetuju dengan khabar pemindahan mereka ke kawasan Tamu Baru Gadong dengan pelbagai alasan dan kesulitan.

Sebilangan daripada peniaga di situ terkejut dengan berita di Media Permata hari ini tentang pemindahan tamu tersebut, sambil berkata mereka hanya diumumkan mengenai perjumpaan buat kali kedua mengenai pemindahan, bukan pengesahan pemindahan.

Awang Hassem ketika menyuarakan pendapat beliau sebagai wakil para peniaga di Tamu Kianggeh.
Awang Hassem ketika menyuarakan pendapat beliau sebagai wakil para peniaga di Tamu Kianggeh.
Baun sudah lebih lima tahun berniaga di Tamu Kianggeh menjual barangan pertukangan tangan.
Baun sudah lebih lima tahun berniaga di Tamu Kianggeh menjual barangan pertukangan tangan.

Salah seorang peniaga yang mewakili suara peniaga-peniaga lain, Awang Hassem bin Kasan, 65 tahun, berkata; “Saya mewakili semua peniaga Tamu Kianggeh tidak bersetuju kerana kami diberitahu oleh pihak kerajaan sebelum ini bahawa mereka akan mengadakan taklimat dan mesyuarat terlebih dahulu, baru memberi keputusan. Tetapi kenapa sekarang dengan mengejut membuat keputusan?”

Sementara itu, sebilangan peniaga lain ketika ditemui turut meluahkan pendapat yang sama mengenai Tamu Kianggeh yang merupakan Khazanah Bandar Seri Begawan; tempat perniagaan turun temurun daripada nenek hingga kepada cucu.

Tamu Kianggeh juga didakwa sebagai tamu tertua yang terdapat di negara ini, tempat tarikan pelancong dan tersenarai sebagai tempat yang mesti dituju apabila mengunjungi negara ini.

Menurut mereka, dari Tamu Kianggeh inilah, kebiasaannya para pelancong dibawa untuk mendapatkan makanan-makanan tradisi di negara ini.

Tamu tersebut juga dijadikan sebagai tempat membeli keperluan dapur oleh sebilangan warga Kampong Ayer pada harga yang berpatutan, di samping menjadi tempat peniaga berusaha, berdikari, mandiri dan mencari rezeki sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan.

Hajah Kina, salah seorang peniaga paling awal berniaga di Tamu Kianggeh, yang menyara lapan orang anaknya yang tidak bekerja dan ada yang sakit.
Hajah Kina, salah seorang peniaga paling awal berniaga di Tamu Kianggeh, yang menyara lapan orang anaknya yang tidak bekerja dan ada yang sakit.
Hajah Seri binti Haji Latif memberitahu bahawa beliau telah menyiasat mengenai perniagaan di Tamu Baru Gadong, bukan menguntungkan malah merugikan.
Hajah Seri binti Haji Latif memberitahu bahawa beliau telah menyiasat mengenai perniagaan di Tamu Baru Gadong, bukan menguntungkan malah merugikan.

Harapan besar para peniaga di sana agar pihak-pihak yang berkenaan akan dapat mengekalkan Tamu Kianggeh sebagai tempat mereka mencari pendapatan harian untuk keluarga, nafkah kepada isteri serta untuk membantu mengurangkan bebanan para suami yang berpendapatan rendah.

Kata mereka lagi, jika kebersihan menjadi isu untuk pemindahan mereka ke Tamu Baru Gadong, mereka mencadangkan agar pihak-pihak tertentu untuk mengambil langkah lebih wajar supaya tempat itu dibaikpulih seperti tamu-tamu di daerah lain.

“Di belakang ani sudah dibuatkan pondok jualan baru yang kata pihak tertentu hampir siap, tetapi tidak digunakan sepenuhnya malah kami dipindahkan, apa akan terjadi dengan pondok jualan baru dibina yang hampir siap itu?” soal Awang Hassem lagi sambil menunjuk pondok jualan tersebut.

Beliau juga menyuarakan kesulitan para peniaga dalam masalah pengangkutan yang akan dihadapi nanti, di mana mereka akan berulang-alik membawa barangan mereka ke tamu baru itu, tambahan lagi pasang surut air yang tidak menentu.

“Sebelum ini rakan-rakan saya sudah pernah mencuba berniaga di tamu baru Gadong hampir tiga bulan. Namun mereka tidak mendapat untung, malah menambahkan hutang untuk mendapatkan modal jualan, inda termasuk lagi kawasan dan meja gerai yang tidak sesuai,” ujarnya lagi sambil menambah, pelanggan mereka kebanyakannya terdiri daripada penduduk Kampong Ayer.

the congested junction of the Tamu Kianggeh

Sementara itu, peniaga barangan kraf tangan, Baun, 50, mengutarakan beberapa pandangan yang berbeza dan mendalam dengan bertanyakan “Apakah perancangan pihak tertentu untuk memajukan tapak Kianggeh ini lebih penting daripada nasib orang ramai?”

Katanya lagi, perkara-perkara lain perlu diambil perhatian sebelum tertumpu pada satu dua permasalahan, contohnya ke manakah tuju orang-orang tua yang telah pun bersara untuk bersiar mengimbau kenangan lama mereka jika Tamu Kianggeh sudah tiada.

“Memandangkan stesen bas utama hampir dengan Tamu Kianggeh, maka ia sangat mudah untuk warga emas yang bersara menaiki bas dan berjalan-jalan di kawasan tamu ini sambil membeli keperluan dapur, berjumpa kawan, mendapatkan makanan tradisi dan melapangkan fikiran mereka tanpa menyusahkan anak-anak mereka menghantar dan mengambil,” jelasnya lagi.

“Sedangkan Kampong Ayer lagi dipertahankan untuk tujuan pelancongan kenapakah Tamu Kianggeh hendak dihapuskan? Dari Tamu Kianggeh biasanya pelancong akan meneruskan lawatan mereka ke Kampong Ayer atau sebaliknya.”

Rayuan para peniaga menyentuh perasaan bilamana mereka cuba memohon untuk Tamu Kianggeh akan terus dikekalkan dan dipertahankan.

Menurut mereka lagi, andai kebersihan menjadi isu utama, adalah lebih baik jika pihak-pihak tertentu membaik pulih, mengatur petak sambil membersihkan kawasan tamu untuk mencapai hasrat pihak kerajaan untuk menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai sebuah bandar yang cantik, indah serta bersih.

ARTIKEL YANG SAMA