Kelulusan Sijil Halal dipercepat

Kelulusan Sijil Halal dipercepat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Sebagai inisiatifnya untuk memperbaiki kecekapan perkhidmatan kepada pelanggannya, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah memperkenalkan komitmen meluluskan Sijil Halal dan Permit Halal dalam tempoh 45 hari bagi setiap permohonan.

Komitmen ini adalah sebagai respons positif Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) terhadap aduan dan kemusykilan yang banyak diterima mengenai kelambatan memperoleh Sijil Halal dan Permit Halal yang dianggarkan mengambil masa selama dua bulan hingga dua tahun, menurut kenyataan yang dikeluarkan KHEU.

Secara keseluruhannya, proses aliran kerja iaitu Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) bagi mendapatkan Sijil Halal dan Permit Halal telah berjaya diperbaiki dan dipertingkatkan, yang meliputi penambahbaikan terhadap tatacara penerimaan borang yang lengkap, ujian Penyelia Halal, pengakuan kerjasama penuh daripada pemilik syarikat atau premis/ pengurus/ wakil/ pekerja semasa proses Audit Kecukupan dan Lapangan, proses Penelitian dan Kelulusan, proses pembayaran serta pengeluaran bagi Sijil Halal dan Permit Halal.

Menurut KHEU, langkah penambahbaikan ini adalah bagi memberikan kemudahan dan keyakinan kepada pengusaha dalam bidang pemakanan dan pemilik premis membuat makanan / minuman dalam mengembang majukan lagi perniagaan mereka.

Ini sekali gus mendokong inisiatif kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menggalakkan perkembangan ekonomi negara termasuk dalam kemudahan menjalankan perniagaan (Ease Of Doing Business) di Negara Brunei Darussalam.

Dalam menyahut cabaran dan persaingan kompetitif dalam memudah cara perkhidmatan dalam pensijilan Halal, MUIB dan BKMH, Jabatan Hal Ehwal Syariah turut meyakinkan para pengguna Muslim bahawa komitmen menyasarkan kelulusan Sijil Halal dan Permit Halal dalam tempoh 45 hari tersebut sama sekali tidak menjejaskan sebarang integriti dan ketelusan dalam memenuhi Keperluan dalam Piawai Brunei Darussalam PBD 24:2006 mengenai Halal Food dan Guideline For Halal Certification (BCG Halal) yang telah digariskan oleh MUIB.

Kenyataan itu berkata, langkah-langkah pengurusan berkenaan harus melalui mendapatkan borang pensijilan halal dan permit halal di Aras Bawah Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah.

Borang yang lengkap berserta dengan dokumen yang diperlukan boleh dihantar ke Unit Permohonan, Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah.

Langkah kedua, dalam tempoh 11 hari selepas borang yang lengkap dihadapkan, pemohon akan dihubungi oleh BKMH untuk membuat temu janji bagi ujian penyelia, yang akan dijalankan di Bahagian Kawalan Makanan Halal.

Langkah ketiga, setelah selesai menjalani ujian, dalam tempoh tiga hari pemohon akan dihubungi oleh pihak BKMH untuk menetapkan tarikh bagi pemeriksaan dan audit ke atas premis perniagaan.

Seterusnya, langkah keempat, dalam tempoh 31 hari selepas pemeriksaan dijalankan, pemohon akan dihubungi oleh MUIB untuk memaklumkan bahawa Sijil Halal/Permit Halal sudah sedia untuk diambil setelah membuat pembayaran.

Manakala itu, pembayaran boleh dibuat di Tingkat 1, Bahagian Kewangan dan Perakaunan, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei, KHEU dan Sijil Halal dan/atau Permit Halal boleh diambil segera di Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei, Tingkat 3 (bangunan baru) KHEU.

Bagi maklumat lanjut mengenai Prosedur Memohon Sijil Halal dan Prosedur Memohon Permit Halal dan Label, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang KHEU di www.kheu.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA