Kem ala tentera usahawan muda ASEAN

Kem ala tentera usahawan muda ASEAN

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) – Kedutaan Amerika di sini akan menganjurkan kem ala tentera dikenali sebagai ‘Young Southeast Asia Leader Initiative (YSEALI) Generation: Startup Weekend’ selama tiga hari bermula 4 Ogos.

Dalam kenyataan hari ini, kedutaan itu berkata kem berkenaan akan diadakan di kampus Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya.

“Kem ala tentera ini diadakan dengan kerjasama MaGIC untuk menghimpunkan kumpulan usahawan muda dari 10 negara anggota ASEAN termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Brunei bagi mencari idea, mencipta dan membangunkan produk serta penyelesaian yang berpotensi memberi kesan terhadap Komuniti ASEAN,” kata kedutaan itu.

Katanya permohonan untuk menyertai kem itu dibuka kepada pemohon dari 10 negara anggota ASEAN mulai sekarang hingga 3 Julai bagi memilih 110 peserta.

“Pemohon paling ideal adalah pelajar universiti atau profesional muda yang sudah menceburkan diri atau merancang untuk memulakan perniagaan, atau bekerja dengan perusahaan kecil,” kata kenyataan itu.

Mereka yang dipilih menyertai kem itu akan mencari idea dan penyelesaian bagi satu tema umum yang mempunyai kaitan dengan Komuniti ASEAN seperti penjagaan kesihatan, isu alam sekitar, pengurusan trafik, tadbir urus dan pertanian.

Ditubuhkan presiden Amerika Barack Obama lebih setahun lepas, YSEALI kini mempunyai lebih 25,000 anggota.

YSEALI memberi geran kecil bagi membiayai projek yang dikendalikan anggotanya bagi menangani isu rentas sempadan berkaitan pendidikan, perlindungan alam sekitar serta pembangunan ekonomi dan masyarakat.