Kem Jati Diri mantapkan kualiti kepimpinan pelajar

Kem Jati Diri mantapkan kualiti kepimpinan pelajar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Dengan hasrat membina keyakinan diri para pelajar untuk berjaya dan memantapkan kualiti kepimpinan diri membawa ke arah perubahan yang lebih positif, Kumpulan D, Program Meningkatkan Prestasi Pencapaian Penuntut (MP3), menyertai Kem Jati Diri 2015 yang berlangsung di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas, hari ini.

Bagi Kumpulan D, seramai 102 orang pelajar dari Sekolah Menengah Masin, Sekolah Menengah Awang Semaun, Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam dan Sekolah Sukan menyertai kem yang diadakan selama tiga hari iaitu pada 2, 4 dan 6 Oktober.

Kem itu merupakan salah satu kegiatan bagi Program MP3 yang dianjurkan oleh Unit Akademik, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan dengan matlamat utama program adalah untuk meningkatkan peratus penuntut yang mendapat lima kredit dan ke atas dalam Peperiksaan GCE ‘O’ Level.

Para pelajar sedang mengambil bahagian dalam salah satu kegiatan berkumpulan.
Para pelajar sedang mengambil bahagian dalam salah satu kegiatan berkumpulan.

Peserta berkenaan terdiri daripada penuntut-penuntut yang sedang belajar dalam Tahun 10 yang mana penyertaan mereka dalam kem dan kegiatan-kegiatan yang diadakan dapat meningkatkan kualiti pembelajaran dan melahirkan penuntut yang mempunyai daya saing untuk maju.

Para pelajar juga diharap dalam memperoleh dan membina keyakinan diri mereka untuk berjaya, mewujudkan sikap hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat termasuk ibu bapa, guru dan rakan sebaya, menjana pemikiran kreatif dan positif, mewujudkan semangat kerja berpasukan serta memupuk sikap tolong-menolong dalam kumpulan.

Sepanjang kem itu, para pelajar mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan dalam dan luar termasuk kegiatan pembentukan kumpulan, kegiatan-kegiatan persediaan bagi menduduki peperiksaan dalam mata pelajaran Matematik dan Sains Gabungan (Combined Science), acara Amazing Race dan kegiatan pembangunan kumpulan.

ARTIKEL YANG SAMA