Kem. Kesihatan fokus tingkatkan perkhidmatan

Kem. Kesihatan fokus tingkatkan perkhidmatan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Kementerian Kesihatan kini memberi fokus utama kepada usaha meningkatkan tahap kepuasan dan pengalaman pelanggan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi berkata, usaha tersebut akan meliputi beberapa aspek iaitu memperbaiki ihsan asas, mengurangkan masa menunggu di kesemua peringkat, memastikan bekalan ubat-ubatan dan khidmat asas tersedia, meningkatkan secara berterusan kualiti dan reputasi para warga kementerian kesihatan, dan memantapkan lagi kualiti pemberian perkhidmatan melalui penyatuan perkhidmatan, kemudahan serta infrastruktur yang sedia ada.

Menurutnya, kos perubatan pada masa kini dan akan datang adalah semakin meningkat dan ini tidak dapat dielakkan kerana dengan perubahan demografi penduduk serta kemajuan teknologi yang semakin canggih.

pg06_160318_a

“Oleh itu, kita perlu bersama-sama memikirkan bagaimanakah kita akan dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang berdaya tahan dan berkualiti tinggi agar ia selamat, tepat pada masanya, komprehensif, kos efektif, responsif, tidak membebankan, saksama dan mudah diperolehi dalam jangka masa yang panjang bagi seluruh penduduk negara selaras dengan ‘Liputan Kesihatan Universal.’

“Selain memastikan kedayatahanan sistem penjagaan kesihatan, Kementerian Kesihatan akan melihat situasi ekonomi sekarang sebagai satu peluang untuk mendorong kepada perubahan kepada tahap tingkah laku dan sikap kebertanggungjawaban orang awam untuk lebih menjaga dan menilai tinggi tahap kesihatan diri masing-masing,” jelas Yang Berhormat Dato Dr. Haji Zulkarnain lagi.

ARTIKEL YANG SAMA