Kem. Kewangan rai Israk Mikraj

Kem. Kewangan rai Israk Mikraj

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei. – Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya, petang tadi, telah mengadakan ceramah khas sempena memperingati Sambutan Israk dan Mikraj tahun ini yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan (Fiskal), Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah.

Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, para pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Pemangku Pengarah Perbekalan dan Stor Negara, Pengiran Haji Sulaiman bin PLW Pengiran Haji Yussof selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis dalam ucapan alu-aluannya antara lain berkata, Israk dan Mikraj sebagai satu peristiwa agung bagi umat Islam yang dikisahkan daripada Allah S.W.T yang merupakan suatu penghormatan dan mukjizat kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W yang mana Allah telah memerintah umat Islam untuk menunaikan ibadat sembahyang.

Dato Paduka Haji Hisham (tengah) semasa menghadiri sambutan itu.
Dato Paduka Haji Hisham (tengah) semasa menghadiri sambutan itu.
Antara warga Kementerian Kewangan yang menghadiri sambutan itu. .
Antara warga Kementerian Kewangan yang menghadiri sambutan itu. .

“Peristiwa Israk dan Mikraj, mengandungi berbagai-bagai peringatan untuk dijadikan iktibar dan pedoman kepada kita umat Islam melihat suatu kaum yang menghempapkan batu ke kepala mereka,” jelasnya.

Tambahnya, setiap kali kepala mereka pecah, Allah S.W.T memulihkannya seperti sedia kala, demikianlah mereka melakukannya berulang kali.

Malaikat Jibril Alaihi’ssalam telah menerangkan yang mereka itu adalah orang-orang yang kepalanya merasa berat untuk mengerjakan ibadat sembahyang. Oleh itu, adalah menjadi dosa besar apabila ibadat sembahyang itu ditinggalkan apa lagi dengan sengaja, tekannya lagi.

Pada majlis itu, ceramah bertajuk ‘Peristiwa Israk dan Mikraj sebagai Ujian atas Keimanan’ telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.

Ceramah Khas Majlis Sambutan Israk Mikraj pada tahun ini dikelolakan oleh Jabatan Perbekalan dan Stor Negara, Kementerian Kewangan.

ARTIKEL YANG SAMA