Kem motivasi untuk belia-belia masjid

Kem motivasi untuk belia-belia masjid

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

BAGI tujuan menarik minat lebih ramai kalangan belia ke masjid serta menyertai aktiviti kerohanian, seterusnya melahirkan belia yang mencintai masjid, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait telah menganjurkan Kem Motivasi Belia bagi kumpulan belia-belia masjid di Daerah Belait di Masjid Zainab Lumut.

Kem selama dua hari itu dikendalikan bersama oleh ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Zainab Kampung Lumut yang juga bertujuan memberikan kesedaran kepada para belia untuk mengamalkan aktiviti bersukan dengan tidak meninggalkan kewajiban syarak iaitu sembahyang.

Ia juga sebagai salah satu program bagi mengisikan masa lapang di hujung minggu dan dapat mengukuhkan ikatan silaturahim dalam kalangan belia.

Beberapa aktiviti takmir masjid telah disediakan, termasuklah sembahyang fardu berjemaah, membaca Al-Quran, ceramah motivasi, kuliah subuh dan perlawanan futsal.

Kumpulan Belia Masjid STKRJ Lorong Tiga Seria telah muncul juara dalam perlawanan futsal tersebut, manakala di tempat kedua Kumpulan Belia Masjid Al-Mashhor Kampung Sungai Mau dan tempat ketiga, Kumpulan Belia Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait.

Senam pemanas badan dilakukan oleh belia-belia Kem Motivasi sebelum memulakan perlawanan futsal.
Senam pemanas badan dilakukan oleh belia-belia Kem Motivasi sebelum memulakan perlawanan futsal.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

Beliau antara lain juga memberitahu, dengan adanya acara seperti itu sedikit sebanyak akan dapat menyumbang kepada ramainya para belia yang mencintai masjid.

“Masjid selain dijadikan tempat beribadat, juga adalah tempat untuk menimba ilmu khususnya dalam hal-hal yang ada hubungkaitnya dengan peribadatan seharian,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, bermula daripada peringkat kanak-kanak, remaja dan belia hinggalah dewasa, mereka akan tetap mencintai masjid di samping dapat memakmurkannya.