Kem pemerdagangan Wang Kelian milik ‘Yassin’

Kem pemerdagangan Wang Kelian milik ‘Yassin’

ALOR SETAR, 28 Mei (Bernama) – Kem-kem transit yang ditemui pihak berkuasa Malaysia di kawasan hutan Wang Kelian, Perlis dipercayai diguna untuk menempatkan mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan manusia yang “dibeli” oleh ejen besar sindiket itu dikenali dengan nama “Yassin”.

Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi Rohingya Society in Malaysia (RSM) Kedah, Yusof Ali kepada Bernama hari ini yang turut berkata, Yassin berbangsa Rohingya dan dikenali sebagai seorang daripada ejen utama sindiket itu.

Menurutnya, walaupun berasal dari Myanmar tetapi Yassin, yang berumur dalam lingkungan 30-an tinggal di selatan Thailand, manakala operasi sindiket pemerdagangan manusia diketuainya pula menjangkau sehingga ke negara ini.

“Hasil maklumat kami, beliau merupakan ejen yang bertanggungjawab “membeli” warga Rohingya dan Bangladesh terbabit daripada sindiket di selatan Thailand dengan harga tertentu dan ditempatkan secara sementara di kem-kem transit di Wang Kelian sebelum dijual kepada pihak lain.”

“Yassin merupakan ejen sindiket pemerdagangan manusia yang besar dan nama beliau amat dikenali ramai di kalangan Rohingya memasuki Malaysia yang menjadi mangsanya,” menurutnya, yang tinggal di negara ini sejak 20 tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA